Berbaki hanya seminggu sebelum hari mengundi, PRN15 kali ini bakal menjawab persoalan besar antara KEKAL atau TUKAR.
Kekal atau tukar bukan saja kepada kerajaan semasa di enam negeri tersebut, tetapi sama ada trend, sentimen dan rekod PRU15 akan kekal (berterusan) atau akan bertukar (ada trend baharu) selepas ini.
PRU15 yang berlangsung pada 19 November 2022 menyaksikan persaingan politik antara yang paling sengit dan paling 'demokratik' dalam sejarah antara parti-parti bertanding.
Semasa PRU15 hampir semua parti bertanding menjangkakan peluang mereka 50-50 walaupun di kawasan yang mereka sedang pertahankan.
Antara sebab utama ialah bilangan pengundi muda sekitar 10.6 juta orang daripada sejumlah 21.17 juta pemilih berdaftar (2.4 juta pemilih baharu berbanding PRU14) yang layak mengundi, selain sebab-sebab lain antaranya kerana peranan media sosial lebih berpengaruh, pengundi-pengundi yang lebih bijak serta parti-parti politik sendiri yang membentuk blok dan kerjasama yang menyeluruh berbanding pilihanraya umum sebelumnya.
Sebagai panduan Daftar Pemilih Pilihanraya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU DUN ke-15 ini adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Terkini Bulan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.
Daripada jumlah tersebut, seramai 661,905 adalah pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun, yang kali pertama akan mengundi pada PRN kali ini yang tentunya tidak boleh dipandang ringan.
PRN kali ini, suasana amat berbeza melihat kecenderungan semasa pengundi berdasarkan keputusan PRU15.
Berdasarkan rekod PRU15, beberapa persoalan sebelumnya kini tidak lagi menjadi tanda tanya.
Sebagai contoh, sebelum PRU15 pengundi muda contohnya, tidak jelas memilih parti/ blok mana sebagai pilihan mereka.
Pasca PRU15 fakta dan sentimen jelas lagi bersuluh, iaitu majoriti pengundi muda memilih Perikatan Nasional (PN)/Pas sebagai pilihan politik mereka.
Jika sebelum PRU15, setiap parti mendakwa mendapat sokongan orang Melayu, namun keputusan PRU15 menjawab persoalan parti/ blok mana menjadi pilihan orang Melayu, iaitu PN dan Pas.
Jika sebelum PRU15 UMNO yakin mendapat sokongan rakyat, walaupun beberapa isu besar melanda blok tersebut, namun pasca PRU15 UMNO mengalami sejarah politik paling buruk dalam sejarah negara!
Kekal atau tukar dalam PRN?
Satu yang pasti trend kerajaan Persekutuan pasca PRU15 telah bertukar, dari satu blok campuran [Barisan Nasional (BN) dan PN sebelumnya] kepada Kerajaan 'Perpaduan' Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Sama ada pertukaran ini akan memberi kelebihan kepada parti-parti yang bertanding bukan isu remeh walaupun pilihan raya ini berlaku di peringkat negeri.
Setakat ini blok pembangkang, terutama PN mendapat kelebihan di atas perubahan ini kerana Kerajaan Perpaduan (Madani) masih terkial-terkial menangkis persoalan rakyat dan pembangkang.
Satu persoalan pokok bagaimana parti/ ahli politik yang hebat bermusuh sebelumnya boleh berjaya sebagai satu kerajaan yang stabil dan cekap memerintah menjadi persoalan ramai.
Walaupun tujuh bulan telah berlalu menyaksikan kerajaan Madani yang stabil, tetapi rekod semasa dan rekod perdebatan di Parlimen setakat ini menyaksikan Ahli Parlimen kerajaan lemah dalam banyak isu. Ini memberi kelebihan yang bukan sedikit kepada PN.
PRU15 menyaksikan pukulan paling hebat terhadap BN dan PH di beberapa negeri dengan kemenangan cukup besar kepada PN/ Pas seperti Kelantan (14-0), Terengganu (8-0), Kedah (14-1).
Berdasarkan sentimen dan sokongan semasa, PN bukan sahaja akan kekal di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi berpeluang besar merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Strategi pilihan raya setakat ini yang menyaksikan kerajaan PMX berlebihan menyasarkan negeri Kedah (daripada enam negeri), jelas menunjukkan mereka tidak yakin untuk merampas Kelantan dan Terengganu daripada PN!
Tentunya mereka mempunyai sebab tersendiri, namun strategi tersebut nampak memakan diri.
Tindakan Perdana Menteri dan menteri-menteri ligat turun ke Kedah sejak pengumumam PRN dan serangan bertali arus ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan betapa bernafsu mereka untuk merampas Kedah, namun ternyata ia hanya membuat Sanusi dan PN lebih popular dan diterima rakyat bukan hanya di Kedah tapi di seluruh Malaysia!,
PRU15 juga menyaksikan sokongan besar orang Melayu kepada blok PN/Pas di seluruh negara (sebanyak 54 peratus di Semenanjung Malaysia) sehingga beberapa kawasan Parlimen BN dan PH sebelumnya jatuh ke tangan PN/Pas, termasuk di Pulau Pinang dan Selangor.
Di Kelantan (66 peratus sokongan), Terengganu (63 peratus) dan Kedah (67 peratus), sokongan pengundi Melayu dalam PRU15 cukup kuat dan dijangka berterusan dalan PRN kali ini.
Sokongan ini bukan sahaja daripada pengundi Melayu dalam PRU15, malah akan ditambah oleh penyokong BN dan penyokong atas pagar sebab protes dan beberapa sebab lain.
Sokongan daripada beberapa bekas pemimpin UMNO/ BN yang semakin bertambah dari hari ke hari kepada PN bukan saja akan menambah kekuatan PN, tetapi akan turut memberi imej buruk kepada Presiden UMNO dan kerajaan PMX.
Berdasarkan rekod PRU15, perebutan undi pengundi Melayu hanya antara PN (54 peratus) dan UMNO/BN (32 peratus).
PH jauh ketinggalan dengan hanya 13 peratus orang Melayu menyokong mereka.
Dengan kontroversi pembentukan kerajaan selepas PRU15 dan imej buruk pemimpin-pemimpin UMNO serta isu-isu yang tiada penghujung dalam UMNO/BN, semakin ramai pengundi Melayu dijangka akan beralih menyokong PN, termasuk ahli UMNO dan PH (terutama Amanah)!
Tindakan Perdana Menteri dan kerajaan semasa yang gagal dalam banyak isu, terutama dalam melaksanakan janji sebelum dan semasa PRU15 menjadikan bukan sahaja pengundi atas pagar, tetapi penyokong PH sendiri hilang keyakinan kepada kerajaan PMX.
Memang terdapat penyokong PH yang terkejut dan tidak percaya apabila kerajaan (terutama Perdana Menteri dan beberapa menteri) gagal melaksanakan janji yang bertahun mereka momokkan sebelum mendapat kuasa.
Ternyata mereka lebih sesuai menjadi pembangkang daripada menjadi kerajaan!
Mungkin ada yang akan berkata saya rasis jika tidak menyebut tentang pengundi bukan Melayu, khasnya sokongan kaum Cina dan India.
Dalam PRU15, PH mendapat sokongan sangat besar daripada pengundi Cina (94 peratus) dan India (83 Peratus).
Berdasarkan rekod tersebut, mungkin kerajaan semasa Pulau Pinang (PH) boleh berasa selamat dan akan kekal selepas PRN nanti.
Begitu juga dengan bakal Yang Berhormat PH/ BN di kawasan majoriti bukan Melayu di enam negeri tersebut.
Namun, ada beberapa perkembangan semasa yang tidak baik untuk PH/ UMNO.
Pembentukan Kerajaan ‘Perpaduan’ antara PH dan BN (khususnya UMNO), hingga kini masih tidak disenangi oleh ramai penyokong kedua-dua pihak, bukan hanya orang Melayu tetapi juga pengundi bukan Melayu.
Penyokong PH khususnya tidak dapat menerima apabila terdapat pemimpin UMNO yang korup dalam kerajaan PMX.
Perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO yang sedang berlangsung juga akan lebih memburukkan imej beliau, parti serta PMX sendiri sebagai ketua kerajaan.
Cerita-cerita sensasi di dalam mahkamah tentu akan menjadi halwa telinga yang sangat perit jika ada yang membawa ia keluar di media sosial atau medan ceramah PRN.
Begitu juga dengan beberapa janji pilihan raya (terutama PH) yang terpaksa ditangguh atau didiamkan demi menjaga ‘kestabilan’ kerajaan semasa.
Mutakhir ini terdapat beberapa laporan menyatakan lebih ramai pengundi bukan Melayu mungkin akan mengundi PN dalam PRN nanti.
Terdapat beberapa laporan pemimpin dan pengundi India menyokong PN, hingga ada yang sanggup keluar parti MIC dan PKR.
Di Pulau Pinang, terdapat juga laporan beberapa kelompok pengundi Cina mungkin akan beralih sokongan kepada PN dalam PRN nanti.
Perkara ini adalah kenyataan pahit buat kerajaan PMX dan bakal menjadi kenyataan jika sentimen semasa berterusan hingga hari mengundi 12 Ogos nanti.
PRN kali ini adalah sejarah baharu dalam sistem politik negara. Tidak pernah berlaku dalam sejarah tanah air pilihan raya negeri dilaksanakan di banyak negeri secara serentak seperti PRN kali ini.
Sama ada kerajaan semasa di enam negeri tersebut akan kekal atau bertukar akan terjawab pada malam 12 Ogos 2023.
Jalankan tugas anda sebagai pengundi walau di mana sahaja tempat anda mengundi, kerana undi seperti juga amalan-amalan seharian lain adalah amanah yang pasti akan dipersoal di hari akhirat.
Setiap parti dan bakal Yang Berhormat bebas membuat apa sahaja janji dan tawaran.
Sebagai pengundi yang ada satu undi berharga satu soalan untuk anda jawab ketika melihat kertas undi: Nak kekal atau tukar kerajaan negeri ini untuk lima tahun akan datang?
Selamat mengundi untuk semua!
*Azmi Ramli adalah peminat setia Astro Awani dan penulis buku “Bersedia Melawan Jin” (2019) dan
“Mudahnya Mengumpul Pahala” (2020).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.