PASTI ada di antara kita pernah bertemu seseorang individu yang senantiasa merasakan dirinya lebih penting, bagus dan sering mengharapkan pujian daripada orang lain.

Adakah ini sesuatu yang normal atau ia sebahagian daripada kecelaruan personaliti yang kita namakan sebagai personaliti narsisistik?

Kecelaruan personaliti secara umumnya merupakan sejenis kecelaruan mental di mana seorang individu itu mempunyai corak pemikiran, imej diri, kefungsian dan tingkah laku yang tidak fleksibel.

Cara mereka melihat sesuatu keadaan itu berbeza daripada individu normal sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sehingga menimbulkan masalah dalam perhubungan, kehidupan sosial serta pekerjaan.

Kecelaruan personaliti narsisistik adalah sejenis kecelaruan personaliti di mana secara umumnya seseorang individu itu berasakan beliau merupakan seseorang individu yang penting, bagus, sentiasa mahukan perhatian diberikan terhadap  diri mereka serta kurang berasa empati terhadap diri orang lain.

Ini bermaksud, keyakinan diri yang ada pada mereka bukanlah boleh dianggap biasa.

Sebaliknya, daya keyakinan diri mereka boleh dikatakan sebagai keterlaluan dan ciri tersebut dilihat berlaku secara berterusan dalam diri individu tersebut.

Narsisisme didefiniskan sebagai keadaan di mana seseorang individu itu terlalu memuji atau mengagumi diri sendiri.

Terma ini berasal dari sebuah cerita mitos Greek tentang seorang pemuda bernama Narcissus yang terlalu mengagumi dirinya serta sering memuja keindahan refleksi dirinya sendiri di dalam kolam.

Beliau dikatakan menghabiskan sebahagian besar masanya di tepi kolam sehingga akhirnya terjatuh ke dalam kolam tersebut.

Ada hikayat yang mengatakan beliau kemudiannya berubah menjadi sekuntum bunga dan bunga tersebut dinamakan sempena nama beliau.

Mungkin ramai di antara kita yang mempunyai ciri-ciri narsisime tetapi tidak semua boleh dikategorikan mempunyai kecelaruan personaliti narsisitik.

Untuk seseorang individu yang normal, mempunyai ciri narsisime yang berpatutan akan membolehkan kita berbangga dengan pencapaian diri serta berasa gembira.

Bagaimanapun, untuk diagnosa kecelaruan personaliti pula, ia perlulah memenuhi beberapa kriteria yang khusus dan bukan sekadar mempunyai beberapa ciri yang disebutkan tadi.

Menurut statistik yang dibuat di Amerika Syarikat (AS), kira-kira 0.5 peratus daripada populasi negara mereka mempunyai kecelaruan personaliti narsisitik dengan 6.2 peratus mempunyai kebarangkalian untuk mendapatkan kecelaruan tersebut seumur hidup (lifetime prevalence).

Ia didapati lebih tinggi dalam kalangan lelaki dengan 7.7 peratus berbanding wanita dengan 4.8 peratus.

Ia biasanya bermula ketika remaja atau awal usia dewasa tetapi hanya boleh didiagnoskan setelah berusia 18 tahun kerana sebelum usia itu, personaliti seseorang itu belum lagi terbentuk sepenuhnya.

Diagnosis akan dibuat berpandukan kriteria yang ditetapkan dalam Diagnostic Statistical Manual 5th edition (DSM-5) oleh American Psychiatric Association (APA).

Proses diagnosis penyakit ini melibatkan penilaian secara temu bual yang komprehensif antara pegawai perubatan atau pakar psikiatri dengan pesakit.

Adakalanya, lebih dari satu sesi diperlukan untuk mengesahkan diagnosis ini.




Seseorang itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya lima daripada senarai ciri-ciri yang disenaraikan di bawah bagi membolehkan diagnosis dibuat iaitu:

1. Senantiasa mempunyai perasaan bahawa diri lebih hebat (grandiosity) berbanding orang lain.

2. Mempunyai fantasi tentang kuasa, kejayaan, kecantikan serta pandangan yang ideal tentang cinta.

3. Mempercayai bahawa dirinya istimewa, unik serta mempunyai status yang tinggi.

4. Sentiasa memerlukan pujian daripada orang lain.

5. Mempunyai perasaan bahawa beliau mempunyai hak ke atas sesuatu (Sense of entitlement).

6. Kurang sifat empati dalam memahami perasaan atau apa yang dilalui individu lain.

7. Kecenderungan untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain demi mencapai tujuan dan matlamat peribadi.

8. Mempunyai perasaan cemburu terhadap orang lain atau percaya bahawa orang lain mencemburui dirinya.

9. Bersikap sombong, bongkak  atau memandang rendah kepada orang lain.


Apakah punca kecelaruan personaliti?

Walaupun punca yang tepat tidak diketahui, namun terdapat pelbagai faktor risiko yang dikaitkan dengan kecelaruan personaliti.

Antaranya ialah:

1) Faktor genetik: Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai kecelaruan personaliti atau penyakit mental.

2) Mengalami trauma, penderaan, pengabaian atau tekanan hidup ketika zaman kanak-kanak.

3) Cara penjagaan oleh ibu-bapa: Ibu bapa yang bersifat terlalu melindungi anak-anak, suka mengkritik atau mempunyai ekspektasi yang tinggi terhadap anak.

4) Ketidakabnormalan pada struktur otak.


Perlukah untuk mendapatkan rawatan?

Kebanyakan individu narsisistik tidak menganggap bahawa diri mereka sedang mempunyai masalah atau gangguan.

Ini kerana mereka merasakan bahawa cara mereka berfikir serta bertindak adalah semulajadi bagi diri mereka.

Ini membuatkan mereka cenderung menyalahkan orang lain atas kesulitan atau cabaran yang dialami oleh diri mereka.

Terdapat beberapa kesan atau komplikasi yang boleh berlaku sekiranya seseorang itu terus mempunyai sifat narsisistik ini.

Mereka didapati sering mempunyai masalah dalam hubungan bersama pasangan, keluarga serta rakan sekerja.

Ini disebabkan mereka mudah berasa tersinggung jika tidak dilibatkan di dalam sesuatu perkara.

Mereka juga sukar mengawal emosi, menerima kritikan daripada orang lain serta selalu berasa tidak selamat (insecure) terhadap sebarang perkara yang boleh menjejaskan dirinya.

Rawatan utama untuk masalah ini adalah melalui sesi psikoterapi dan kaunseling yang komprehensif di mana individu tersebut akan dibantu untuk mengenalpasti masalah, cara pemikiran di samping menguruskan emosi dan tekanan.

Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa seperti masalah kecelaruan personaliti yang lain, mereka yang mempunyai  kecelaruan personaliti narsisistik juga mempunyai kemungkinan untuk mengalami penyakit mental seperti kemurungan, kecelaruan, keresahan, bipolar serta penyalahgunaan dadah.

Untuk itu adalah disarankan agar mereka yang mempunyai gangguan personaliti seperti ini mendapatkan penilaian dan rawatan yang sewajarnya.



* Penulis adalah Pakar Perunding Psikiatri Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.