Pada tahun 2018, ada ura-ura projek ini mungkin dihidupkan semula.
Bolehkah Selat Johor dibuka untuk pelayaran antarabangsa sekiranya Tambak Johor digantikan dengan sebuah ‘jambatan bengkok’?
Tambak Johor
Singapura bukanlah sebuah pulau yang sesungguhnya apabila Tambak Johor sepanjang 1,056 kilometer dibuka kepada laluan pada tahun 1924. Ianya dianggap keajaiban kejuruteraan pada ketika itu sebagai satu-satunya penyambung daratan di antara Semenanjung Melayu dan Pulau Singapura.
Tambak Johor kini dianggap sebagai salah sebuah lintasan sempadan antarabangsa tersibuk di dunia digunakan oleh 350,000 pengembara setiap hari.
Tambak Johor memiliki beberapa kelemahan.
Tidak seperti Jambatan Linkedua yang boleh direntasi kapal-kapal, Tambak Johor menutup secara sepenuhnya Selat Johor kepada aktiviti perkapalan.
Kapal-kapal yang berlayar dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, salah satu daripada 20 pelabuhan tersibuk di dunia perlu mengelilingi Singapura untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak di sudut timur Selat Johor, lantas menambahkan waktu pelayaran.
Projek Jambatan Bengkok
Singapura tidak bersetuju untuk membina sebuah jambatan lurus menggantikan Tambak Johor apabila Malaysia mencadangkannya berdekad lalu.
Oleh itu, Malaysia pada awalnya ingin meneruskan projek ini bagi menggantikan Tambak di bahagian Malaysia dengan sebuah jambatan bengkok.
Jambatan bengkok yang dibina sedikit tinggi dari paras laut membenarkan kapal melintasi dibawahnya, sekaligus membuka Selat Johor untuk pelayaran antarabangsa setelah 88 tahun, di sebuah laluan buntu.
Namun, timbul persoalan bagaimanakah paip air yang membekalkan air kepada Singapura akan digantikan dalam pembinaan jambatan ini. Walaubagaimanapun, projek ini dibatalkan pada tahun 2006.
Terdapat dua lagi lintasan selain Tambak Johor. Jambatan Linkedua yang dibina merentasi Selat Johor dibuka untuk trafik sejak 1998. Jambatan ini dibina pada ketinggian 25 meter dari paras laut membenarkan kapal-kapal melintasi di bawahnya.
Selain itu, Malaysia dan Singapura juga sedang membangunkan Jambatan untuk Rapid Transit System (RTS), jambatan rel yang menghubungkan dua negara yang merentangi Selat Johor. Tiang-tiang Jambatan RTS ini tidak dibina begitu tinggi bagi membolehkan kapal-kapal besar berlayar di bawahnya.
Sekiranya Projek Jambatan Bengkok dihidupkan semula, bolehkah Malaysia mendapatkan keuntungan ekonomi daripadanya?
Bolehkah Selat Johor menandingi kehebatan Selat Singapura?
Melayari Selat Johor
Selat Johor memisahkan Singapura dan Malaysia sepanjang 50km dengan purata kedalaman 12 meter. Terdapat beberapa Pelabuhan yang terletak di sepanjang Selat Johor seperti Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Langsat di bahagian Malaysia manakala Pelabuhan Tuas dan Sembawang terletak di Singapura.
Kewujudan pelabuhan-pelabuhan ini menunjukkan Selat Johor boleh dilayari meskipun cetek.
Namun, tiada pelabuhan telah dibangunkan di bahagian barat Selat Johor, terutamanya di antara Jambatan Linkedua dan Tambak Johor.
Ketinggian Jambatan Linkedua yang terbatas menyebabkan kapal-kapal yang memiliki ketinggian melebihi 25 meter tidak dapat merentasinya. Kebanyakan kapal-kapal yang berlabuh di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat memiliki ketinggian melebihi 25 meter.
Laluan yang sempit akan menyebabkan kesesakan kapal di Selat Johor, menyebabkan kapal-kapal lebih memilih untuk melayari Selat Singapura yang memang merupakan laluan perkapalan utama.
Dalam pada itu, kerja-kerja penambakan tanah yang dilakukan di persisiran Bandaraya Johor Bahru mungkin akan terus mencetekkan selat ini. Kewujudan kelong penternakan ikan di sepanjang Selat Johor ini juga mungkin boleh menyulitkan navigasi.
Pembinaan jambatan bengkok ini perlu disusuli dengan kerja-kerja pendalaman yang berterusan bagi memastikan Selat Johor selamat untuk pelayaran.
Undang-undang antarabangsa menetapkan kapal-kapal boleh mengamalkan lintas transit yang tidak boleh dihalangi ketika melayari selat untuk pelayaran antarabangsa. Melainkan kapal-kapal berlabuh di pelabuhannya, Malaysia tidak boleh mengutip sebarang pembayaran. Situasi ini berbeza dengan pelayaran merentasi terusan maritim seperti Suez atau Panama yang mana tol boleh dikenakan.
Sekiranya pun Malaysia dapat membina jambatan bengkok dengan jayanya dan membuka Selat Johor untuk pelayaran antarabangsa, adakah kapal-kapal akan berlabuh di pelabuhannya atau memilih untuk terus berlayar terus ke destinasi masing-masing?
Kesimpulan
Projek yang ‘berani’ dan sangat mahal ini mungkin dapat membuka semula Selat Johor setelah tertutup lebih seabad lamanya.
Malaysia perlu membuat beberapa pertimbangan sekiranya memilih untuk meneruskan projek ini. Apakah wang berbilion Ringgit yang akan dilaburkan boleh mentransformasikan Selat Johor sebagai laluan perkapalan yang menandingi Selat Singapura?
* Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah professor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan penyelidik bersekutu di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia. Muhammad Syafiq Zairi adalah seorang penyelidik bebas.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.