KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melakar sejarah buat Malaysia apabila tidak ada mana-mana parti yang bertanding berjaya mencapai majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat sekali gus menggagalkan dominasi mana-mana parti untuk membentuk kerajaan.
Pakatan Harapan (PH) yang mencapai kemenangan selesa pada 2018, terpaksa berpuas hati dengan sekadar 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 74 kerusi dan Barisan Nasional (BN) dengan hanya 30 kerusi Parlimen.
Sebelum PRU14, BN merupakan satu entiti yang sangat dominan dalam arena politik negara apabila mampu bertahan selama 60 tahun memimpin negara namun kini realitinya berbeza, mereka perlu menyertai mana-mana blok bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan malah penyertaan parti itu dilihat cukup sebagai pelengkap.
Kesan domino
Kesan domino daripada episod hitam kekalahan besar BN juga menyaksikan penyertaan Sarawak dalam komponen itu berakhir apabila BN ‘terkubur’ di Bumi Kenyalang selepas 44 tahun apabila Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan keluar parti pada 12 Jun 2018 bagi membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Sarawak (PRS); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRU15, GPS berjaya mengukuhkan kedudukannya apabila berjaya memperoleh 23 daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen di negeri itu.
Sementara situasi di Sabah tampil lebih dinamik sebelum Pilihan Raya Negeri ke-16 dan selepas terbentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor nampak lebih mengukuh biarpun Negeri di Bawah Bayu itu kini juga dalam ‘mode’ bersedia mendepani PRN17.
GRS yang dibentuk pada Mac 2022 dianggotai oleh tiga parti komponen melibatkan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) kini mempunyai enam kerusi di Dewan Rakyat.
Pada November 2022, atas dasar menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus mencipta gagasan politik yang lebih stabil, kedua-dua gabungan ini menyatakan pendirian memberi sokongan kepada kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
King Maker
Biarpun blok Borneo juga dilihat sebagai ‘pelengkap’ kepada pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan, namun 29 kerusi ini sebenarnya memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan pembentukan kerajaan.
Angka yang kecil sebenarnya cukup berkuasa dalam menjayakan atau menggagalkan sebarang pembentukan kerajaan kerana dua gabungan ini bebas memilih gabungan mana yang dilihat relevan untuk disertai di peringkat Persekutuan.
Khusus bagi Sarawak yang langsung tidak terikat dengan mana-mana gabungan dan jika diimbas kembali dalam pembentukan kerajaan yang dibentuk menerusi Langkah Sheraton pada 2020, GPS yang menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat di saat pimpinan kerajaan PH, memilih untuk menyertai kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Di saat itu, tanpa penglibatan GPS yang hanya memiliki 19 kerusi, ia pasti tidak mampu membantu Ahli Parlimen Pagoh itu membentuk kerajaan sedangkan dengan keberadaan GPS dalam blok itu, majoriti yang diperoleh Muhyiddin itu tetap goyah.
Naratif ini kekal dimainkan GPS di saat Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada Ogos 2021.
Ini menunjukkan dinamika perjalanan politik parti dari blok Borneo yang sehingga kini masih kekal membuktikan mereka adalah King Maker dalam agenda pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Terkini, dengan penyertaan kedua-dua gabungan dari blok ini, mereka kekal teguh di belakang Kerajaan Perpaduan namun imej mereka sedikit ‘tercemar’ baru-baru ini apabila ada sebahagian daripada mereka didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan kepada pakatan baharu bagi membentuk kerajaan menerusi Langkah Dubai.
Desas-desus ini menunjukkan walaupun hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) mula dikembalikan di bawah pentadbiran sedia ada, mereka masih mempunyai hak dan kebebasan memilih individu mana yang dilihat berpotensi menerajui kepimpinan negara.
Namun air yang keruh kembali jernih apabila Pengerusi GPS, Abang Johari tampil menafikan ada ahlinya terlibat dalam misi itu malahan Hajiji juga menyifatkan tindakan itu hanya akan menjerumuskan negara ke arah kekacauan dan ketidakstabilan berpanjangan.
Malah Abang Johari pada awal Januari secara tegas menyatakan Sarawak sememangnya berkehendakkan kestabilan politik dan akan sentiasa menyokong sebarang usaha ke arah pembentukan kestabilan selain bukan menjadi pemimpin yang sekadar bermain politik semata-mata.
Kemampuan Kerajaan Perpaduan
Nyata selepas isu Langkah Dubai tidak lagi dimainkan, gabungan sedia ada ini ternyata cukup kuat dengan memiliki majoriti dua pertiga ketika ini ditambah dengan beberapa Ahli Parlimen PN yang ‘membelakangi’ parti dengan menyatakan sokongan kepada Anwar.
Bagaimanapun di saat ia dilihat kukuh, beberapa isu utama terus dimainkan blok pembangkang bagi menunjukkan kredibiliti mereka mengupas isu-isu semasa seperti kejatuhan mata wang ringgit yang sedikit sebanyak memberi cerminan kepada kewibawaan pimpinan ketika ini.
Antara lain, isu pengurangan hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada 12 ke enam tahun juga antara faktor ‘mencalar’ kredibiliti Anwar yang teguh memperjuangkan reformasi dan rasuah namun ia dilihat kurang ‘disambut’ oleh puak pembangkang.
Anwar bagaimanapun menjelaskan, semua pihak perlu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan semua pihak perlu menghormatinya.
Selain itu, sentimen di peringkat akar umbi sentiasa menjadi taruhan termasuk permainan blok pembangkang dalam memberi imej yang negatif terhadap pentadbiran ini.
Antara yang terbaharu, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah pada 9 Februari sedikit sebanyak menambah sentimen negatif kepada kerajaan Anwar.
Ini kerana perkara melibatkan keutuhan agama Islam merupakan satu isu besar dan sekiranya tidak ditangani dan diterangkan sebaiknya di peringkat kepimpinan dan akar umbi, harapan menyaksikan pendominasian kerajaan ini mungkin tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.
Di sebalik semua isu yang berlegar ketika ini, blok Borneo baik di Sabah dan Sarawak kekal memainkan peranan mereka dengan berfungsi dengan baik dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mampu menggugat keutuhan sedia ada.
Antara lain, cadangan dikemukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dari DAP, baru-baru ini yang mencadangkan agar Kampung Baru Cina dijadikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO juga mencetuskan amarah dalam kalangan beberapa watak penting dalam UMNO dan orang Melayu sendiri.
Namun ia mulai mereda apabila Ahli Parlimen Teluk Intan itu pada 13 Februari berkata, beliau enggan memanjangkan isu cadangan tersebut dan sudah ‘move on.’
Isu demi isu diputarkan dan berjaya mencipta bualan di media sosial namun parti-parti dari blok Borneo dilihat kekal tidak tampil menambah perencah dalam acuan sedia ada. Ini memberi isyarat jelas membuktikan isu sebegini bukan modal politik parti dari blok Borneo kerana umum mengetahui keharmonian agama dan pelbagai kaum merupakan resipi utama kedua-dua negeri itu.
Jadi, sekiranya parti dari blok Borneo kekal dengan pendirian mereka iaitu bekerja demi rakyat dan mahu menyaksikan kestabilan berpanjangan, blok ini akan mampu menjadi pengimbang yang baik di sebalik kekalutan yang tercipta dari isu-isu yang berbangkit.
* Syafik Shukri Jalil merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Sarjana dari School of Art and Media, University of Brighton, United Kingdom.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Syafik Shukri Jalil
Thu Feb 22 2024
Di sebalik semua isu yang berlegar ketika ini, blok Borneo kekal memainkan peranan mereka dan berfungsi dengan baik serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mampu mengugat keutuhan sedia ada. - Gambar fail/Bernama.
Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat lapan sekolah di Pulau Pinang
Kematian pelajar Tingkatan Dua itu tiada kaitan unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Firma kajian positif tawaran RM11 sesaham untuk swastakan MAHB adalah terbaik
Pelabur juga boleh mendapat manfaat daripada sumber dan visi pemberi tawaran bersama untuk pertumbuhan mampan, menjadikan cadangan itu menarik.
PM Anwar bertemu Macron, bincang soal Palestin, teroka kerjasama AI
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan berkenaan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Malaysia ambil bahagian Sidang Kemuncak G20 selepas 9 tahun
Kehadiran PM Anwar atas kapasiti negara jemputan disambut oleh Presiden Brazil, Luiz Incio Lula da Silva selaku tuan rumah.
'Kembali ke sekolah, doakan saya' - Tunku Azizah
Tunku Azizah kini kembali bergelar mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Harimau Malaya hampir malukan India di Hyderabad
Nasib tidak menyebelahi Malaysia selepas seri 1-1 menentang India pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Gachibowli, Hyderabad, malam tadi.
Trend penipuan melibatkan ejen rumah sewa palsu semakin meningkat - FOMCA
FOMCA beri amaran kepada orang ramai tentang trend penipuan melibatkan ejen rumah sewa palsu yang semakin meningkat.
Loke cadang hab kargo udara dua hala Malaysia-Hong Kong kukuh dagangan global
Anthony Loke berkongsi visinya untuk menjalin kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Hong Kong bagi mewujudkan hab kargo udara dua hala.
Lapangan terbang di Sarawak daftar hampir lapan juta penumpang pada suku ketiga 2024
Lapangan terbang serta lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek (STOLports) di Sarawak mencatatkan 95,441 pergerakan pesawat yang membawa 7.56 juta penumpang setakat suku ketiga tahun ini.
Kementerian Digital, KUSKOP bekerjasama rangka dasar bantu PMKS guna pendigitalan
Kementerian Digital sedang berbincang dengan KUSKOP untuk bekerjasama merangka dasar baharu bagi membantu PMKS menerima guna pendigitalan dalam perniagaan mereka.
Mengenang Tun Daim: Kerajaan rakam takziah - Fahmi
Kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada usia 86 tahun, pagi tadi.
Formula Kerajaan Perpaduan jadi asas kerjasama BN-PH dalam PRN17 Sabah
Formula tersebut menjadi salah satu perkara utama yang diberi perhatian oleh kedua-dua parti dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini.
Perselisihan tidak gambarkan seluruh situasi gabungan dalam Kerajaan - Loke
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dalam mana-mana gabungan dan kerjasama politik, pasti wujud perselisihan antara individu.
Lebih 230,000 pengunjung dijangka hadiri Sambutan Dua Tahun Kerajaan MADANI - Fahmi
Kerajaan menyasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir ke Sambutan Dua Tahun Kerajaan MADANI yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Nov ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Naikkan gaji minimum tindakan berani, cermin tekad Kerajaan Perpaduan - PM Anwar
Tindakan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 mencerminkan tekad politik Kerajaan Perpaduan yang jelas.
Keselamatan digital: Kerajaan belum berhasrat bina aplikasi khusus - Fahmi Fadzil
Fahmi berkata, terdapat sejumlah aplikasi dalam pasaran yang boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh para pengguna dalam negara ketika ini.
Belanjawan 2025 angkat kepentingan rakyat - Aminuddin
Beliau berkata ia dilihat tertumpu kepada pengukuhan sektor ekonomi penting yang dijangka memberi hasil kepada negara dan memperbaiki kemudahan asas dalam pelbagai sektor.
Kenyataan Zahid Hamidi buktikan kesatuan pimpinan Kerajaan Perpaduan - Fahmi
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mengingatkan pimpinan UMNO supaya tidak 'mengusik' rakan-rakan parti komponen membuktikan semangat perpaduan dalam kerajaan.
PM Anwar belum berniat ambil tindakan terhadap Bloomberg - Fahmi
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini tidak berniat untuk mengambil tindakan terhadap agensi berita antarabangsa, Bloomberg atas laporan yang boleh mencemarkan nama baiknya.
"Pemimpin UMNO jangan 'usik' rakan komponen Kerajaan Perpaduan" - Ahmad Zahid
Pemimpin UMNO diingatkan agar tidak 'mengusik' rakan-rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan sehingga menimbulkan masalah.