KAJIAN mendapati gaji atau upah menjadi salah satu antara penawar utama untuk mempercepatkan peralihan struktur ekonomi di Malaysia. Pada Selasa, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli  menyatakan komitmen kerajaan menilai secara prinsip ke atas dasar model upah progresif atau progressive wage model (PWM) di Malaysia.

Saya mengalu-alukan komitmen kerajaan ini untuk mengadakan perubahan yang progresif bagi mentransformasi struktur gaji di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha yang bakal melonjakkan ekonomi negara.

Dalam artikel ringkas ini, saya mengambil kesempatan untuk berkongsi mengenai pandangan mengenai konsep dan faedah pelaksanaan PWM di Malaysia.

Sistem PWM dipanggil "progresif" kerana ia menekankan konsep kemajuan dalam upah berdasarkan parameter tahap kemahiran dan produktiviti. Tidak seperti model upah minimum yang menetapkan tingkat upah standard untuk pekerja tanpa mengira peningkatan kemahiran atau pengalaman mereka, sistem PWM mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu yang mencapai kemajuan dalam kerjaya dan meningkatkan produktiviti mereka. Apabila pekerja memperoleh kemahiran dan pengalaman serta menunjukkan prestasi kerja yang lebih baik, mereka layak mendapat upah yang lebih tinggi. Ini prinsip keadilan ekonomi yang ditekan oleh PWM.

PWM ialah sistem upah yang adil yang menawarkan keseimbangan pasaran antara pekerja dan majikan. Pekerja dibayar mengikut perkembangan kemahiran mereka yang diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti. Peningkatan produktiviti bermakna pengembangan dalam output dan hasil yang akan mengimbangi peningkatan kos buruh.

PWM seharusnya tidak statik dan ia boleh disesuaikan mengikut sektor dan saiz perusahaan tertentu, dengan mengambil kira ciri dan keperluan unik sektor berkenaan. Fleksibiliti ini membolehkan pelarasan upah yang disasarkan berdasarkan kemahiran yang diperlukan oleh sektor dan jenis pekerjaan yang berbeza.

Dalam kes di Malaysia, PWM harus ditumpukan kepada pekerja berpendapatan rendah, terutamanya untuk pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah. Intervensi mendesak di Malaysia pada ketika ini ialah kumpulan berpendapatan rendah dan adaptasi PWM perlu dimulakan pada kumpulan ini.

Singapura menggunakan PWM untuk mengatasi pertumbuhan upah bagi kumpulan berpendapatan rendah. PWM di Singapura dibangunkan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan. Sektor ekonomi yang terlibat dengan amalan PWM telah meningkatkan upah pada kadar yang mampan dan bermakna bagi mengimbangi kos sara hidup pekerja berpendapatan rendah.

PWM memberi manfaat kepada pekerja dengan memetakan laluan kerjaya yang jelas. Peningkatan upah mereka adalah seiring dengan pengembangan latihan dan peningkatan produktiviti buruh. Pada masa yang sama, produktiviti buruh yang lebih tinggi akan meningkatkan keuntungan perniagaan untuk majikan. Rajah 1 menunjukkan contoh perlaksanaan PWM ke atas pekerjaan pengawal keselamatan di Singapura.

Rajah 1

Berikut merupakan empat kelebihan dan manfaat utama PWM berbanding model upah minimum.

Kemajuan upah
PWM menekankan perkembangan upah berdasarkan kemahiran, produktiviti dan pengalaman. Ia membolehkan pekerja menerima upah yang lebih tinggi kerana berlaku peningkatan kemahiran dan pengalaman yang membawa kepada peningkatan produktiviti mereka.

Mengurangkan jurang pendapatan
Dengan menghubungkan upah kepada kemahiran dan produktiviti, PWM membantu menangani jurang pendapatan. Ia memastikan bahawa pekerja yang meningkatkan kemahiran mereka dan menyumbang lebih banyak kepada keberhasilan diberi ganjaran dengan upah yang lebih tinggi. Pendekatan ini menggalakkan keadilan dan mengurangkan jurang pendapatan antara pekerja pada tahap kemahiran tertentu.

Pembangunan kemahiran
PWM menggalakkan pekerja melabur dalam pembangunan kemahiran dan latihan. Dengan prospek upah yang lebih tinggi apabila mereka memperoleh kemahiran baharu, pekerja bermotivasi untuk menyertai program latihan dan meningkatkan keupayaan mereka. Ini memberi manfaat kepada kedua-dua pekerja dan majikan dengan meningkatkan kemahiran dan produktiviti buruh.

Keuntungan produktiviti
Dengan mengaitkan upah dengan produktiviti, PWM menggalakkan pekerja menjadi lebih produktif. Apabila pekerja menyedari bahawa usaha mereka secara langsung memberi kesan kepada pendapatan mereka, mereka mempunyai insentif yang lebih besar untuk bekerja dengan cekap dan berkesan. Ini boleh membawa kepada keuntungan produktiviti untuk perniagaan, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing.

PWM adalah salah satu bentuk penyelesaian untuk menyokong peralihan keseluruhan dalam pampasan pekerja. Terdapat dua aspek lagi yang menjadi pelengkap kepada PWM yang diperlukan untuk menyokong peralihan keseluruhan dalam pampasan buruh.

Pertama, kita perlu membangunkan garis panduan untuk menerima pakai model perkongsian keuntungan yang lebih baik. Perkongsian keuntungan dalam bentuk selain gaji seperti elaun, bonus dan bayaran lain adalah komponen yang berubah-ubah mengikut prestasi semasa syarikat. Kedua, kita perlu mempunyai sebuah badan tadbir urus yang holistik untuk memantau keseluruhan struktur pampasan pekerja serta mengambil kira keseluruhan ekosistem pasaran buruh.

* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah Ketua Pegawai Eksekutif, THE FUTURE

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI