MENGINJAK tiga tahun kerajaan meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63), kini ia menunjukkan perkembangan positif terutama dalam memenuhi tuntutan asas menerusi perjanjian itu.

Antara pencapaian membanggakan apabila sembilan perkara atau tuntutan asas berkenaan berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Ia sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan perkara termaktub dalam MA63 diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.

Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff memaklumkan, sembilan perkara itu ialah penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Ini termasuk Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, selain pemberian kuasa (empowerment) mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Tuntutan lain ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN juga berjaya diselesaikan serta penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah serta pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak turut mendapat penyelesaian.

Dua lagi tuntutan selesai ialah penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.

Dengan kejayaan penyesaian sembilan tuntutan ini, beberapa tuntutan lain diyakini dapat memperoleh keputusan sama.

Ini terutama melibatkan isu kuasa yang boleh diserahkan kepada kerajaan negeri dalam pengurusan hal ehwal pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Tuntutan itu sebagai mengambil kira kekangan Kerajaan Persekutuan dalam peruntukan kewangan bagi melaksanakan projek pembinaan seperti sekolah dan hospital.




Memenuhi tuntutan

Dalam memenuhi tuntutan itu, jawatankuasa khas antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditubuhkan bagi memperhalusi isu melibatkan dua sektor di negeri itu tanpa birokrasi bagi memastikan ia dilaksanakan segera.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan dibenarkan mendahulukan dana pembinaan fasiliti awam itu dan kemudiaannya akan dibiayai Kerajaan Persekutuan secara perundingan dan kaedah bayarannya.

Mengulas mengenai isu tersebut, Pensyarah kanan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, Kerajaan Sabah dan Sarawak perlu mempertimbangkan kesemua aspek ini sebelum bersedia untuk menguruskan sendiri pendidikan dan kesihatan.

Ini kerana ia melibatkan kos yang besar untuk ditanggung oleh Sabah dan Sarawak yang dibimbangi kurang dapat ditanggung dalam jangka masa panjang dan berterusan.

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan harus memastikan terdapat semak dan imbang perlu ada dalam konteks autonomi tanpa kebebasan.

"Aspek sumber dan mekanisme dalam kesihatan dan pendidikan masih ada lagi memerlukan penglibatan dari segi kemahiran dan perlu selari dengan falsafah sistem pendidikan kebangsaan negara dan Kertas Putih Kesihatan Negara," katanya.

Dalam pada itu, terdapat 14 lagi tuntutan yang masih dalam perbincangan. Antaranya isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] serta hak negeri ke atas pelantar benua.

Selain itu ialah pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan juga masih dalam perbincangan.

Bagaimanapun, tiga tuntutan telah pun mempunyai keputusan dasar iaitu membabitkan pemberian kuasa mengenai alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta kuasa mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan).

Menurut Fadillah, tempoh masa penyelesaian setiap tuntutan asas MA63 tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan kerana ia membabitkan perundangan yang kompleks dan memerlukan penelitian terperinci.

Tahap kesediaan Kerajaan Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan juga aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan asas MA63 dapat diselesaikan.




Harus diselesaikan

Ironinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini meletakkan komitmen bahawa semua perkara yang disepakati antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah termasuk Sarawak seperti terkandung dalam MA63 harus diselesaikan segera.

Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu MA63, namun ma­hu tuntutan yang dibuat harus mengambil kira perubahan yang berlaku.

Perbinca­ngan dalam tempoh setahun Kerajaan MADANI, kerajaan telah selesaikan masalah MA63 jauh lebih baik daripada apa yang dibuat berbanding 10 tahun yang lalu.

Ini termasuk komitmen menubuhkan Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Fadillah, manakala tuntutan asas MA63 yang belum diselesaikan akan dipantau dan disusuli oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bahagian itu selaku Sekretariat kepada Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.

Segala tindakan dan inisiatif itu membuktikan kerajaan serius dalam hal yang disepakati menerusi MA63 harus diselesaikan dan tidak seharusnya tertangguh lagi.



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.