PADA 2024 kita menyaksikan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung iaitu di Kuala Kubu Baharu, Selangor dan Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Barangkali tidak lama lagi satu lagi PRK yang disebut-sebut bakal berlaku iaitu melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.

Dua PRK yang berlaku - iaitu PRK Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap ada persamaan dan perbezaannya.

Dari segi persamaan, setakat ini kita lihat ia berlaku di peringkat DUN dan pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya.

Lebih menarik, dua PRK ini berlaku di Pantai Barat, Semenanjung Malaysia dan kerajaan yang memerintah di kedua-dua kawasan PRK tersebut ialah Kerajaan Perpaduan.

Kalau lihat dari segi komposisi dan bilangan pengundi, kedua-dua PRK berkenaan hampir sama.

Cuma di PRK Kuala Kubu Baharu, ia melibatkan saingan empat penjuru manakala PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan pada 6 Julai depan.

Di PRK Kuala Kubu Baharu, penyandangnya ialah seorang perempuan dan akhirnya ia dimenangi oleh calon perempuan.

PRK yang berlangsung pada 11 Mei lalu menyaksikan Pang Sock Tao daripada PH menang dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan calon PN Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

Manakala di Sungai Bakap, penyandangnya ialah seorang lelaki dan calon-calon yang bertanding juga adalah lelaki.

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara iaitu Dr Joohari Ariffin dan PN diwakili bekas Eksekutif Logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal iaitu Abidin Ismail.

Sudah pasti kita lihat di Kuala Kubu Baharu, pendekatannya ialah bertahan, sementara di Sungai Bakap pula konsep yang sama akan dipakai tetapi bukan kepada kerajaan yang memerintah.

Jadi, di sini kita lihat bahawa PH akan menggunakan pendekatan tawan ataupun 'regain'.

Kita boleh sebut bahawa PRK pertama iaitu Kuala Kubu Baharu - parti PH yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya mempertahankan kerusi yang disandang yang mewakili parti DAP.

Apa yang bakal kita lihat dalam PRK Sungai Bakap ialah - berjayakah PN mempertahankan kerusinya, dan sejauh mana keupayaan PH untuk merampas kerusi DUN tersebut?

Jadi untuk kedua-dua PRK ini, kita mampu melihat pendekatan kempen adalah bersifat 'tawan' dan 'tahan'.

Lebih menarik lagi pada PRK Kuala Kubu Baharu, ia menguji kemesraan atau keserasian komponen-komponen parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam melakukan gerak kerja untuk memenangkan calon yang disebut sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

Ketika itu dilihat sebagai satu medan atau gelanggang politik yang menarik kerana kali pertama calon DAP bertanding.

Tetapi kali ini kita melihat di Pulau Pinang, calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan adalah daripada PKR dan PN pula mewakilkan calon daripada Pas.

Tidak seperti di Kuala Kubu Baharu, gabungan PN mewakilkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tewas (Khairul Azhari) kepada calon PH (Sock Tao).

Tetapi kali ini untuk PRK Sungai Bakap, kita akan menyaksikan Pas melalui calon mereka akan 'menguji nasib' menentang wakil daripada PKR.

Untuk rekod, PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, dengan 6 Julai depan sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.



Isu nasional masih jadi bahan kempen

Dari segi isu, sudah pasti isu nasional akan dibawa dan ini ternyata benar bahawa isu berkenaan masih lagi digunakan di Kuala Kubu Baharu.

Situasi sama berlaku di Sungai Bakap di mana isu nasional akan dimainkan khususnya dalam hal ekonomi yang menjurus kepada kenaikan harga barangan harian.

Dalam meneliti usaha kempen yang akan dibuat di Sungai Bakap, ternyata ia juga akan menguji bagaimana jentera-jentera parti dapat mengembleng tenaga untuk memenangkan calon-calon mereka.

Seimbas lalu kita dapat sebut bahawa pada PRK Kuala Kubu Baharu, jentera yang mewakili Kerajaan Perpaduan telah berjaya dikukuhkan sehingga mereka mempertahankan kerusi yang dipertandingkan.

Keadaan kali ini kita dapat menyaksikan bagaimana pula jentera ini akan mengemblengkan tenaga mereka untuk merampas kerusi di Sungai Bakap.

Ini adalah satu pengalaman yang menarik dalam konsep peranan jentera untuk memenangi pilihan raya yang bakal diadakan sama ada di peringkat PRK, Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Walaupun kita akui bahawa jika ada berlaku apa-apa kemenangan di pihak bukan kerajaan, ia tidak akan mengubah apa-apa, tetapi sebarang keputusan akan memberi satu isyarat sama ada kerajaan atau parti itu semakin kukuh ataupun semakin menghadapi masalah.

BACA: Persaingan PRK Sungai Bakap dijangka sengit

BACA: 
PRK Sungai Bakap: PN perlu henti main sentimen Melayu dan Islam - Penganalisis

Jika dilihat di Kuala Kubu Baharu, ramai yang memerhati bahawa calon Bersatu yang mewakili PN dapat melakukan satu kejutan tetapi ini tidak berlaku.

Justeru, kita akan lihat pula di Sungai Bakap sama ada parti Pas mampu terus kekal teguh apabila berhadapan dengan PKR.

Perlu diingat bahawa DUN Sungai Bakap ini dikelilingi oleh parti yang berada dalam kerajaan misalnya, di Parlimen Nibong Tebal (Fadhlina Sidek) dan DUN Jawi (H'ng Mooi Lye).

Dalam dua minggu akan datang ini kita dapat lihat kempen-kempen yang akan dibawa oleh kedua-dua pihak untuk tujuan memenangkan calon masing-masing.

Pada Sabtu, kita lihat penamaan calon Sungai Bakap telah selesai dan keadaan begitu lancar.

Kita mengharapkan satu kempen yang sihat dan usaha boleh dipelajari oleh kedua-dua pihak yang bertanding untuk memperbaiki dan menambah baik ruang-ruang tertentu.

Ini kerana ia akan menjadi satu persediaan awal kepada beberapa pilihan raya yang dijangka berlaku dalam masa terdekat, tahun ini atau tahun hadapan.



* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014) dan kini menjadi pemerhati serta pengulas isu-isu semasa politik.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.