Selain pulau peranginan, kawasan hutan lipur menjadi pilihan pelancong domestik untuk beriadah bersama keluarga.
Bagi pengunjung, Air Panas La atau 'La Hot Spring' menjadi pusat rawatan alternatif sambil menikmati keindahan alam semulajadi.
Menurut seorang pengunjung, Ishak Jusoh, penyakit urat yang dialaminya sedikit sebanyak sembuh selepas mengamalkan merendamkan diri dalam kolam air panas ini.
"Nak kata sembuh sepenuhnya susahlah, tapi ada perbezaan sikit. Selepas rendam dalam 30 minit, tangan saya kembali merah.
"Jadi tangan saya boleh kepal sikit, saya memang tiap-tiap hari lakukan terapi dengan mengayuh basikal.
"Harap-harap selepas ni insyaAllah sembuh macam sedia kala, boleh kerja balik," katanya.
Bagi Abdul Rahim pula, kolam air panas ini memberi manfaat kepada penyakit kulit yang dialaminya.
"Mungkin ada orang kata yang memang untuk merawat penyakit terutamanya bagi mereka yang menghadapi penyakit kulit.
"Tetapi memang ramai orang, terutamanya warga emas berkunjung ke sini bagi merawat penyakit angin ahmar dan kulit," katanya.
Pengunjung yang ingin bermalam boleh menginap di chalet yang disediakan Majlis Daerah Besut (MDB).
Menurut Pengurus La Hot Spring, Mohd Nazrul Mohd Nor, pengunjung disaran melakukan tempahan awal bagi mendapat tempat menginap di chalet yang disediakan.
"Misalan cuti jatuh hari Khamis dan hari Jumaat, pengunjung perlu membuat tempahan awal bagi menginap chalet.
"Terdapat 30 unit chalet yang berharga RM150 semalam dan 20 unit berharga RM90, satu unit RM70, dua unit berharga RM50 dan satu unit asrama berharga RM250 semalam," katanya.
Menurutnya, selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jumlah pengunjung juga dihadkan sebagai langkah keselamatan.