Dalam satu kenyataan media, penganjurnya Kota Mahsuri Management berkata, festival bersempena Hari Mahsuri itu bakal mempamerkan kekayaan budaya dan sejarah Malaysia yang pelbagai, merangkumi pertunjukan seni dan tradisi.
Ia berkata Festival Mahsuri bertujuan untuk memupuk pertukaran budaya, kerjasama, dan pertumbuhan, menjadikan Langkawi sebagai destinasi utama untuk pengalaman budaya bertaraf dunia.
Selain itu, festival tersebut bakal menyediakan platform untuk pengunjung berinteraksi dengan tradisi Malaysia yang bersemangat sambil menggalakkan semangat kreatif bakat tempatan dan antarabangsa.
"Kami sangat teruja untuk menghidupkan Mahsuri Festival, dan berkongsi warisan kaya Malaysia dengan dunia.
“Acara ini adalah perayaan perpaduan melalui kepelbagaian, dan kami percaya ia akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pengunjung dengan mempamerkan yang terbaik dari tradisi budaya Malaysia," kata Penerbit Eksekutif Mahsuri Festival, YM Ku Aliff Qayyum Ku Ahmad, yang juga Pengurus Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat Kota Mahsuri Management.
Dalam pada itu Kota Mahsuri Management berkata, tujuh tujuh komponen utama festival tersebut akan merangkumi forum, permainan tradisional, pameran, bengkel, pameran warisan dan tradisional, persembahan budaya, dan teater.
Ia berkata, festival tersebut dijangka menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa, dengan siri acara yang direka untuk memikat penonton dari semua peringkat umur.
“Pameran budaya dan warisan festival ini bertujuan untuk menginspirasi, mendidik, dan meraikan tradisi pelbagai Malaysia, serta memupuk pertumbuhan pelancongan di Langkawi dengan menawarkan pakej pelancongan yang menarik untuk pengunjung.
“Kota Mahsuri Management telah pun mendapatkan beberapa kerjasama strategik dan akan mengumumkan penaja utama pada acara media pada 20 November 2024 di Kuala Lumpur. Sokongan Yayasan Hasanah adalah penting dalam menjadikan Mahsuri Festival sebagai acara ikonik yang akan mempromosikan pertukaran budaya di peringkat global,” menurut kenyataan itu lagi.