Bukan kerana ideanya membeku; tetapi kerana detiknya terasa terlalu mengharu.
Saya turunkan sebagai perkongsian rencana. Sekadar bacaan melihat "betapa sunyinya momen sastera di tengah bencana."
Singgah makan tengah hari di Restoran Taqwa di Bandar Sri Permaisuri dan melihat empat gadis remaja duduk di meja dengan wajah yang buntu - membuatkan saya terkesan.
Semuanya mudah ditebak kerana di atas meja terdapat fail plastik yang dikepil bersama pelbagai dokumen.
Saya tahu mereka baru pulang dari sesi temu duga.
Di sekitar Bandar Sri Permaisuri, terdapat banyak pasar raya, restoran dan pejabat yang baru dibuka semula.
Di dinding cermin deretan kedai dan butik - mudah dilihat pelekat iklan jawatan kosong.
Saya duduk di meja sebelah dan terus memberikan salam. Empat gadis yang sebaya anak saya kelihatan sedikit terperanjat.
"Duduk mana?" tanya saya.
Seorang gadis dan nampak paling matang di antara mereka tersenyum dan membalas salam.
"Flat Sri Kota dan kawan-kawan lain ada yang duduk Sri Melaka dan dua lagi tinggal di Sri Johor dan Taman Ikan Emas," jawabnya.
"Ooo... baru balik cari kerjakah?" tanya saya.
"Ya," jawab gadis yang ramah itu.
Anisah berusia 19 tahun dan rakan-rakannya semua sebaya.
Menurutnya, sepanjang pagi sampai tengah hari, mereka berjalan kaki mencari kerja di sekitar premis Bandar Sri Permaisuri.
"Memang banyak yang iklankan kerja, namun kami hanya diminta mengisi borang," kata Anisah.
Menurutnya, pada jam 2 petang mereka akan menuju ke pasar raya di Taman Midah dan akan terus berusaha mencari kerja hingga ke Komplek Velocity dan Mytown.
"Dah dua hari kami berjalan merata tempat cari kerja," katanya.
Saya bersimpati.
Gelas minuman dan hari mencabar
Saya lihat hanya ada gelas minuman di atas meja mereka. Apabila pelayan tiba dan meminta pesanan - saya mempelawa mereka makan.
"Makanlah... pakcik belanja. Elok makan tengah hari dulu sebab nanti sepanjang petang kena berjalan ke sana-sini," kata saya.
Wajah mereka nampak serba-salah.
"Makanlah, anggap saja pakcik belanja kenduri," kata saya.
Saya terus memendekkan perbualan dan beralih kepada pelayan.
"Kamu tanya apa mereka mahu pesan."
Kami perlukan kerja, pak cik
Saya kekal di meja bersebelahan kerana jaraknya memadai untuk berbual dengan empat gadis itu.
"Hari ini kamu sudah pusing cari kerja sampai ke mana?" tanya saya.
"Tadi masuk kedai haiwan depan sana. Tapi hanya perlukan dua orang saja. Rasanya dia tak mau pekerja remaja sebab katanya kena cuci najis haiwan," jawab Anisah.
Saya terdiam.
"Yalah... barangkali ada anjing dan nanti jadi sensitif sebab kita Islam. Pemilik kedai tak mau berlaku kontroversi," kata saya.
Menurut Anisah, mereka juga berpusing-pusing di Komplek Permaisuri yang baru dibuka tetapi belum banyak kedai yang beroperasi.
"Sekarang orang tak buka meniaga, kan, pak cik?" tanya rakannya.
Namanya Nuaini.
"Ya... tapi kenalah sabar. Insya-Allah dalam sebulan dua lagi apabila orang dah kembali rancak membeli, banyak kedai akan beroperasi seperti biasa," kata saya.
Makanan tiba dan saya minta mereka makan.
Saya faham, berjalan sepanjang pagi mengitari bangunan Dwitasik dan Bandar Sri Permaisuri sangat meletihkan.
Anak-anak yang kasihkan ibu bapa
"Saya kena kerja sebab ayah pun dah tak stabil pendapatan kerana kerap diarah cuti," kata Nuaini.
"Ayah kerja mana?" tanya saya.
Nuaini menyebut nama sebuah syarikat pembinaan dan saya boleh faham keadaan kerjaya bapanya.
Industri pembinaan dan hartanah antara yang teruk terkesan akibat kemelesetan ekonomi sekarang.
"Teruslah cari kerja... Insya-Allah ada. Semoga kamu dapat membantu keluarga," kata saya.
Saya membiarkan mereka makan, sambil meminta pelayan bawakan buah-buahan yang dipotong.
"Ambil ini... buat tambang Grab."
Mereka nampak serba-salah. Tetapi saya tersenyum.
"Wang tidak penting... tapi pakcik hargai ketabahan kamu semua," kata saya.
Saya bangun dan menuju ke kaunter. Menjelaskan bayaran dan melambaikan tangan.
Sebelum meninggalkan restoran, saya menoleh dan melihat semula pada wajah-wajah yang sedang berjuang mencari masa depan dan cuba meringankan beban keluarga.
Mereka antara ratusan ribu anak-anak muda kita yang sukar mendapat kerja.
Hakikatnya, negara kini berdepan keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu.
Memang mereka sedang berjuang.
Bukankah sekarang detik paling sukar bagi kita semua?
Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.