KUALA LUMPUR: Dua kluster kementerian penting yang menjadi teras menentukan berjaya atau tidak usaha pemulihan negara perlu bekerja lebih keras, iaitu kluster ekonomi dan kluster sosial.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Kartini Aboo Talib @ Khalid, bependapat bahawa itu perlu diberi tumpuan khusus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kabinetnya nanti.

Bawah kluster sosial, kementerian yang tergolong adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perpaduan dan Kementerian Kesihatan.

“Kesemua kementerian ini adalah yang perlu bertugas dengan lebih cekap dan komprehensif dalam mendepani impak COVID-19.

“Mereka ini adalah dikategorikan dalam kluster sosial, maka mudah Perdana Menteri dan kabinet menumpukan tenaga dan fokus kepada kluster ini.

Kemudian bawah kluster ekonomi pula, ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kerana kita tahu COVID-19 ini memberi impak yang sangat besar kepada industri pelancongan.

“Dan kita lihat juga Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, dan juga Unit Perancangan Ekonomi,” katanya dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Jumaat.

Maka untuk menjayakan usaha ini, kata Kartini, kedua-dua pihak perlu melihat semula rangka persefahaman rentas parti yang telah ditawarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri tempoh hari.

Apa yang perlu dipastikan adalah keterbukaan kerajaan untuk tidak lagi mengamalkan politik cara lama dengan membentuk semua institusi negara menjadi lebih saksama dan cekap supaya kestabilan boleh dicapai.



Kluster ekonomi dan sosial perlu kerja lebih keras - Kartini Aboo