KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk menjadikan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) sebagai hospital COVID-19 bagi menangani peningkatan jumlah pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU).

Cadangan itu dibuat susulan peningkatan mendadak jumlah pesakit kategori 4 dan 5 yang memerlukan pemantauan dan rawatan di wad ICU.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu mempunyai kapasiti mencukupi untuk digunakan sementara sebagai hospital COVID-19.

“Hospital ini mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal/ ICU (katil saiz dewasa) yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat COVID-19, khususnya mereka dengan gejala yang serius.

“Pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah bertemu untuk membincangkan cadangan penggunaan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) sebagai Hospital COVID-19,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut beliau, pemilikan sementara HPKK UKM sebagai hospital sementara COVID-19 dibuat mengikut Seksyen 3 And 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dalam usaha menangani pandemik.

Jumlah pesakit ICU di seluruh negara kini naik 60 peratus, manakala Lembah Klang mencatat peningkatan lebih tinggi iatu 94 peratus berbanding tempoh yang sama.

Kata beliau lagi, penggunaan katil ICU di Lembah Klang juga telah melebihi kapasiti 113 peratus, manakala seluruh negara 91 peratus.