KUALA LUMPUR: Sebetulnya, kalau sudah namanya tuah dan rezeki, tiada siapa yang mampu menolak aturan baik itu.


Ringkasan AI
  • Khairul Aming telah mencapai banyak kejayaan dalam kerjayanya, termasuk undangan bertemu dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, kerana video travelog masakannya yang mendapat perhatian luas.
  • Khairul Aming menunjukkan komitmen tinggi dengan persediaan rapi untuk pertemuan dengan Perdana Menteri, termasuk pemilihan makanan, pakaian, dan topik perbualan yang teliti. Ini menunjukkan dedikasinya dalam membawa nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
  • Khairul Aming telah menetapkan tanda aras baharu dalam konteks pembinaan set kemahiran sebagai pempengaruh media sosial, termasuk kemahiran mengurus perhubungan awam dan memahami trend pengguna. Ini menekankan pentingnya kreativiti, pembelajaran berterusan, dan sikap merendah diri dalam mencapai kejayaan.


Dan, kerana tuah dan rezeki selain kerja keras serta pelbagai usaha yang dirintis menjadikan Khairul Aming sebagai antara pempengaruh tanah air yang disayangi dan dihormati ramai.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, anak muda yang bakal menginjak usia 32 tahun pada 25 September ini telah melakar banyak sejarah baharu dan pencapaian yang bukan kecil dalam profil kerjayanya.

Satu demi satu kejayaan yang dilakar mengiringi perjalanan indah Khairul Aming sehinggakan beliau diundang bertemu dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang kini berada di tanah air sempena rangka lawatan rasmi.

Sebetulnya, undangan istimewa daripada pemimpin nombor satu New Zealand itu bertitik tolak pada usaha Khairul Aming menerbitkan video masakan menerusi travelog ke negara kiwi itu.

Video travelog berkenaan mendapat perhatian Perdana Menteri Luxon yang secara peribadi mahu berjumpa dengan Khairul Aming untuk menyampaikan penghargaan di atas penerbitan video tersebut.

“Asalnya, video New Zealand ni saya terbitkan untuk video promosi sebelum pelancaran produk kedua saya iaitu Dendeng Nyet Berapi.

“Akan tetapi, segalanya perancangan berubah selepas saya fikir video ini boleh diterbitkan dalam treatment yang lebih menarik,” katanya ketika bercerita kepada Luxon sambil memasak roti jala.

Khairul Aming memberitahu, video percutian New Zealand itu bakal diterbitkan sebanyak sembilan episod dan setakat hari ini, baru empat episod sudah ditayangkan.

Sehingga ke hari ini juga, video-video berkenaan sudah mencatatkan lebih 30 juta tontonan di platform TikTok dan Instagram.

“Ketika diberitahu oleh pihak Kedutaan New Zealand, bahawa Perdana Menteri mahu berjumpa saya, saya agak risau dengan sensitiviti isu yang berlaku di seluruh dunia terutamanya sensitiviti Malaysia ke atas isu Palestin.

“Saya amat lega apabila semalam (pada Isnin) diberitakan bahawa New Zealand juga kini mahu gencatan senjata disegerakan di Palestin,” ujar Khairul Aming menarik nafas lega.

Berdasarkan penelitian terhadap kerja Khairul Aming, apa yang boleh disimpulkan ialah, komitmen pempengaruh ini bukan biasa-biasa.

Persediaan yang dibuat, perbincangan bersama pasukan dan pengurus restoran telah dimulakan sejak panggilan jemputan dibuat oleh pihak Kedutaan New Zealand di Malaysia beberapa minggu lalu.

Khairul Aming membuat demonstrasi memasak roti jala bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon

Difahamkan, pemilihan makanan, pakaian dan topik perbualan juga telah disusun rapi bagi memastikan pertemuan dengan Perdana Menteri Luxon berjalan lancar.

Bukan itu sahaja, jalan cerita untuk video pertemuan ini juga dirancang sebaik mungkin dengan memikirkan segala kemungkinan kepada situasi ketika pertemuan berlangsung.

Baginya, segala look and feel yang bakal ditonjolkan amat penting kerana ia sebahagian daripada usaha membawa nama baik Malaysia di pentas antarabangsa.

Pertemuan seperti ini amat jarang berlaku, terutamanya membabitkan tetamu negara yang mahu berjumpa dengan pempengaruh tempatan.

Pada pandangan mata kasar, Khairul Aming sudah mula melangkah keluar ke pentas global melalui videonya dengan nada bersahaja dan penuh dengan elemen mendidik masyarakat.

Dalam masa sama, sekiranya ada dalam kalangan pembaca yang bercita-cita ingin menjadi pempengaruh media sosial, satu hal yang harus diingat, cabaran yang terbentang di hadapan juga semakin berganda.

Jika sebelum ini, set kemahiran yang diperlukan hanya sebagai seorang tukang cerita, merakam video dan menguruskan akaun media sosial semata-mata.

Namun, semua itu sudah berubah kerana Khairul Aming telah meletakkan tanda aras baharu dalam konteks pembinaan set kemahiran.

Melihat Khairul Aming berhadapan dengan ketua negara seperti Perdana Menteri Luxon itu, nyata set kemahiran lain seperti mengurus perhubungan awam, memahami trend pengguna media sosial, kemahiran bercakap dengan tokoh kenamaan dikuasai beliau dengan lancar dan teratur.

Itulah kemahiran penting yang wajib ada kepada pempengaruh media sosial.

Hakikatnya, segalanya bermula dengan pelajaran, pembelajaran dan rasa ingin tahu yang tinggi.

Dan, paling utama juga sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain!

Khairul Aming sudah membuktikannya, anda juga masih punya harapan dan peluang yang serupa dengan beliau.