NIBONG TEBAL: Dodol perisa asli, durian dan pandan mungkin sudah biasa kita dengar tetapi bagaimana pula dengan nanas, cappucino, coklat, strawberi dan blueberry?

Mungkin kedengaran aneh bagi sesetengah orang namun itulah keunikan dodol Pak Teh yang terkenal dengan dodol lapan perisa.

Terletak di Kampung Sungai Baong, Sungai Jawi, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pak Teh Dodol yang diusahakan Ahmad Lutfi Yusof, 52, bersama isterinya, Rahmat Bee Ismail, 52, sejak 10 tahun lepas, kini diambil alih oleh anak sulung mereka Muhammad Luqman Haqim, 21, yang bertanggungjawab sepenuhnya di bahagian pengeluaran termasuk memasak dodol.

Muhammad Luqman Haqim ketika ditemui Bernama di bengkel dodolnya berkata ketika awal berniaga mereka hanya menjual dodol tiga perisa iaitu asli, durian dan pandan yang kemudian dipelbagaikan dengan tambahan lima lagi rasa iaitu nanas, cappucino, coklat, strawberi dan blueberry.

Pelajar lepasan bidang kulinari dari Kolej Komuniti Nibong Tebal itu berkata idea untuk mengolah dodol asli kepada banyak perisa itu tercetus daripada ibunya yang mahu mencuba sesuatu yang baharu tambahan pula perisa-perisa itu mempunyai penggemarnya yang tersendiri.

"Umpamanya dodol coklat dan strawberi kanak-kanak suka, manakala orang tua memilih cappucino. Paling mendapat sambutan semestinya dodol asli dan durian sebab sekarang tengah musim durian dan (perisa) pandan pun ramai orang suka, itu memang hari-hari kita masak.

Berkongsi penglibatannya dalam perniagaan itu, Muhammad Luqman Haqim berkata beliau mula belajar mengenai selok-belok penyediaan makanan tradisional itu daripada bapanya sejak berumur 16 tahun dan perlahan-lahan mahir sebelum diberi kepercayaan untuk mengambil alih selepas tamat pengajian tahun ini.

Menurutnya resipi dodol itu berasal daripada datuknya Allahyarham Yusof Ali yang pada mulanya hanya dimasak untuk makan sendiri sahaja sebelum mencadangkan kepada bapanya untuk menjual dodol berkenaan dengan nama Pak Teh Dodol.

"Pak Teh adalah nama panggilan untuk ayah dan kini resipinya diperturunkan kepada saya pula dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan lagi rasanya. Dodol ini bermula dengan hanya dua kawah dan makin berkembang, sehingga kini sudah ada lapan kawah," katanya yang memberitahu arwah datuknya tidak sempat melihat perniagaan itu yang bermula pada September 2014 kerana meninggal dunia pada 2012.

Dari segi penyediaannya pula, meskipun ramai pengusaha kini telah beralih kepada kaedah moden menggunakan mesin namun, bagi Muhammad Luqman Haqim dia masih mahu mengekalkan kaedah tradisional dengan kebiasaannya dia akan mengacau dodol seorang diri di bengkel, maksimum lapan kawah lima hari seminggu dan hanya mengupah pekerja jika menerima tempahan yang terlalu banyak.

"Satu kawah dalam tujuh kilogram. Paling penting adalah bagaimana kita kawal api selain masa juga merupakan elemen yang perlu dititik beratkan dalam memastikan dodol dihasilkan mendapat tekstur sempurna, begitu juga dengan sukatan perlu tepat kerana kalau tidak ia akan menjejaskan produk akhir nanti," katanya yang mengambil masa empat jam untuk memasak dodol itu.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, anak sulung daripada dua beradik itu berkata beliau sedang berusaha untuk mendapatkan sijil halal dan dokumen lain yang berkaitan bagi membolehkan produk itu berkembang dengan lebih meluas.

Katanya buat masa ini pasaran Pak Teh Dodol hanya di beberapa negeri di utara dan Perak dengan produk itu kebanyakannya diletakkan di kedai runcit.

"Buat masa ini fokus kita adalah untuk mengukuhkan pasaran dalam negara dahulu dan selepas itu jika ada peluang untuk dikembangkan ke luar negara memang kita akan buat sebab memang sasaran pada masa hadapan adalah membawa nama dodol Pak Teh ini ke persada dunia," katanya.

Sungai Bakap menjadi tumpuan beberapa minggu ini kerana akan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 6 Julai depan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional.

-- BERNAMA