KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyeru ketua isi rumah di lokasi banjir mendaftar menerusi sistem pengurusan bencana negeri itu, e-Bencana, bagi melancarkan persediaan kemudahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terutama melibatkan agihan bantuan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Rohani Ibrahim berkata sistem tersebut bakal digunakan di PPS yang akan dibuka apabila berlaku banjir.

"Selepas berjaya membangunkan sistem e-Bencana, kerajaan negeri terus mengorak langkah menyebar luas penggunaannya ke peringkat komuniti melalui program bengkel dan pelatihan...

"Usaha sebar luas ini sebagai langkah kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memperkemas proses penyaluran bantuan ketika menghadapi bencana," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan bengkel di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti, Pasir Mas, Kelaboran (Tumpat) dan Gual Periok (Rantau Panjang) dan usaha itu akan diteruskan ke daerah berisiko banjir.

Rohani berkata selain penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh yang terlibat dalam penyaluran bantuan ketika bencana turut disarankan untuk mendaftar dan menggunakan aplikasi itu.

Beliau berkata pihaknya juga akan menghebahkan mengenai sistem itu di masjid-masjid serta menerusi penghulu, penggawa dan kakitangan Pusat Khidmat DUN.

Menurut Rohani sistem e-Bencana dibangunkan bertujuan untuk menguruskan maklumat bencana secara berpusat dan tidak terhad kepada banjir.

Justeru katanya semua pihak terlibat khususnya ketua isi rumah di Kelantan diseru untuk mendaftar pada laman sesawang https://ebencana.kelantan.gov.my/daftar.php atau muat turun aplikasi e-Bencana menerusi telefon pintar.

Manual pendaftaran boleh dimuat turun di https://ebencana.kelantan.gov.my/portal/manual.pdf .

-- BERNAMA