Ringkasan AI
- Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim terus dipantau dari segi kesihatan fizikal, mental, dan spiritual sebelum dibenarkan bercuti di kampung halamannya di Baling, Kedah. Pemeriksaan menunjukkan dia berada dalam keadaan stabil.
- Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan itu telah bertemu dengan keluarganya, dan siasatan oleh Lembaga Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti sebarang kemungkinan foul play atau khianat. Kawasan pencarian melibatkan radius 1km oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan 4km oleh TDM dan agensi lain.
- Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Muhammad Syafiq ditemukan selamat setelah hilang selama 19 hari, lengkap dengan peralatan dan senjata, namun dalam keadaan lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata ia bagi memastikan tahap kesihatan anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Tanjung Kidurong, Bintulu itu berada dalam keadaan terbaik.
"Alhamdulillah hasil pemeriksaan secara fizikal dan kita juga telah membuat sesi kaunseling. Kita dapati anggota ini berada dalam keadaan stabil. Walaupun demikian kita masih memberi beberapa hari lagi untuk membuat pemantauan," katanya pada sidang media di Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Sri Miri di sini hari ini.
Beliau berkata Muhammad Syafiq telah bertemu dengan ahli keluarganya yang telah diterbangkan ke sini dua hari lalu.
Menyifatkan Muhammad Syafiq sebagai seorang yang periang dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja, Muhammad Hafizuddeain berkata anggota itu yang menyertai Rejimen Sempadan pada 2021 masih mahu meneruskan perkhidmatannya di Sarawak.
Beliau turut berkata Lembaga Siasatan akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat foul play atau khianat dalam kejadian itu dan melihat dari sudut pelaksanaan bagi memperbaiki prosedur operasi pada masa akan datang.
Ditanya mengenai keluasan kawasan bagi operasi dan menyelamat Muhammad Syafiq, beliau berkata kawasan yang melibatkan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) adalah kira-kira 1km radius, manakala kawasan pencarian oleh TDM dan agensi terlibat adalah kira-kira 4km radius.
Muhammad Hafizuddeain berterima kasih kepada ABDB, Kerajaan Negeri Sarawak, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan penduduk rumah panjang yang membantu dalam operasi itu selain rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan Muhammad Syafiq.
"Ini jelas menunjukkan bahawa ini satu konsep yang cukup efektif iaitu semua pihak telah bekerjasama memberikan sumbangan mengikut kepakaran dan keupayaan masing-masing untuk membantu kami," katanya.
Muhammad Hafizuddeain menyatakan ketika ditemu bual Muhammad Syafiq berkata dia hanya hilang selama dua hari sebelum berjaya menemukan tanda-tanda yang sengaja ditinggalkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Anggota tersebut hilang selama 19 hari sejak 18 Jun lepas di sempadan Malaysia-Brunei ketika menyertai Op Ukur di Limbang sebagai anggota pengiring.
Ditanya sama ada kehilangan Muhammad Syafiq itu melibatkan elemen mistik beliau berkata: "Kita tak boleh nafikan tidak kira berapa maju kita dalam sains dan teknologi elemen itu tetap ada tapi adalah sukar untuk kita membuktikannya.
"Sebab itulah dalam usaha kita membuat pencarian ini, kita menggunakan cara konvensional dengan teknologi yang ada dan sebagainya dan kita usaha juga menggunakan cara-cara tradisional dengan minta bantuan ustaz-ustaz serta pada masa sama melibatkan penduduk setempat yang mungkin lebih arif dan faham dengan keadaan di situ," katanya.
Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi pada Sabtu selepas 17 hari operasi mencari dan menyelamatnya dilancarkan.
Muhammad Hafizuddeain turut mengadakan pertemuan dengan Muhammad Syafiq dan ahli keluarganya di samping menyampaikan sijil penghargaan kepada mereka yang terlibat di dalam operasi SAR itu.
-- BERNAMA