Zuraida Abu Bakar, 54, berkata, dia menerima panggilan daripada pihak tentera selepas 24 jam anaknya yang berusia 20-an itu dilaporkan hilang.
Katanya, dia dan suami, Ahmad Tarmizi Safar, 54, turut melakukan solat hajat sejak hari anaknya dilaporkan hilang dan berdoa semoga dipermudahkan urusan mencari anaknya.
"Saya yakin anak saya masih hidup kerana sebagai komando, dia mesti tahu macam mana untuk terus hidup.
“Apapun, kami serahkan sepenuhnya kepada pihak tentera untuk melakukan operasi pencarian anak kami," kata ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Limau, di sini, hari ini.
Menurut Zuraida, anaknya itu bercita-cita menjadi komando dan menyarung seragam tentera sejak kecil.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anak sulung daripada dua beradik itu pulang ke kampung halaman semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu
"Abang (panggilan kepada Zulhilmi) sudah lima tahun berkhidmat dalam tentera dan terus menjadi anggota komando.
"Dia juga turut menghubungi saya pada November lalu dan meminta saya doakan supaya dia selamat kerana perlu bertugas di hutan Royal Belum dan dijangka pulang bulan depan.
"Anak saya masih bujang dan adik bongsunya juga anggota tentera yang bertugas di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah," katanya.
Media semalam melaporkan seorang anggota tentera ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas sementara seorang lagi masih hilang selepas dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Merah, di Gerik, Perak.
Kejadian sekitar jam 6 petang itu berlaku ketika dua anggota tentera lelaki berkenaan bersama tujuh yang lain menjalankan tugas gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan Hutan Royal Belum.