KUALA LUMPUR: Meskipun berjaya membebaskan diri daripada belenggu hubungan Sugar Baby-Sugar Daddy (SBSD), lazimnya mereka yang pernah terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini akan mengalami gejala serta trauma kemurungan yang teruk.
Mereka juga berhadapan dengan masalah emosi serta luka emosional yang sangat mendalam.
Keadaan menjadi lebih sukar bagi sebilangan lain yang turut menghadapi masalah mengadakan hubungan intim dengan suami akibat trauma akibat 'hubungan haram’ terdahulu.
Pensyarah Fakulti Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Pamilia Lourdunathan ketika diminta mengulas kesan psikologi yang ditanggung oleh SB berkata, ada juga yang terpaksa mengharung cabaran apabila mahu menjalin hubungan baharu yang bermakna dengan seseorang.
Beliau menjelaskan, bahagian otak seseorang remaja yang dikenali sebagai korteks prefrontal masih dalam proses menjadi matang, dan ia merupakan satu struktur dasar otak yang membolehkan individu untuk membuat keputusan berdasarkan moral dan etika, menyelesaikan masalah, mengawal emosi, serta memahami diri sendiri.
Godaan nafsu mengganas
Menurut Pamilia, dengan bahagian korteks prefrontal yang masih belum cukup matang dan pada masa yang sama, si remaja ditawarkan satu tawaran yang cukup lumayan seperti bayaran RM 2,000 sebulan untuk menjadi SB, maka persepsinya mungkin akan melihat tawaran ini sebagai godaan yang tidak dapat ditolak dan akhirnya terjebak.
“Selain itu, SB biasanya bergaul dengan orang yang di luar daripada kumpulan lingkungan umur mereka, jadi wujud kecenderungan tinggi untuk persepsi mereka dibentuk berdasarkan pengalaman yang tidak normal ini.
“Tambahan pula, setelah sekian lama menjadi SB, biasanya mereka mempunyai perasaan cinta dan sayang terhadap Sugar Daddy (SD) mereka, apatah lagi ianya hubungan rapat pertama mereka dengan seseorang.
"Perkara ini boleh membahayakan emosi SB jika ditinggalkan SD mereka. Ada yang tidak dapat menerima hakikat ini dan akhirnya mengalami kemurungan, stres, trauma serta masalah pemakanan,” jelasnya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pamilia turut menambah, seksaan jiwa ini dikaitkan dengan Sindrom Stockholm yang juga menjadi antara punca sesetengah SB melakukan banyak kegiatan yang tidak diingini seperti menghisap dadah ataupun kegiatan fizikal lain walaupun didera atau dipaksa.
Perasaan sunyi menjadi pendorong
Ketika menjelaskan dari sudut psikologi mengapa SD dan Sugar Mummy (SM) turut terbabit di dalam kancah maksiat ini, Pamilia berkata, biasanya mereka terdiri daripada lelaki dan wanita yang berkedudukan tinggi. Bagaimanapun, mereka mungkin mengalami kesunyian dan sedang mencari seseorang yang dapat mengisi kesunyian itu.
Jika mereka berkemampuan, mereka mungkin berkeinginan untuk ‘melabur’ dalam hubungan sedemikian sebab mampu melakukannya dan mudah mempunyai akses kepada orang yang lebih muda, yang sanggup melakukan seperti yang diminta.
“Ada juga sesetengah SD atau SM yang bertaubat dan kesal akan perbuatan mereka yang berasakan fasa yang mereka lalui itu sebagai krisis pertengahan hidup atau mid-life crisis. Krisis ini merujuk kepada peralihan identiti serta keyakinan diri seseorang individu yang boleh berlaku sekitar umur 45 hingga 65 tahun.
“Krisis perkembangan ini biasanya berlaku dalam fasa hidup yang dikenali sebagai Generativity versus Stagnation yang diasaskan oleh ahli psikologis terkenal, Erik Erikson. Ini boleh membawa akibat kepada self-concept dan imej kendiri seseorang sehingga menyebabkan mereka mengelak daripada realiti dunia ini dan berkeinginan untuk tinggal dalam dunia ‘ciptaan’ mereka sendiri.
“Fenomena ini juga digambarkan sebagai krisis psikologi yang mungkin disebabkan oleh faktor usia yang semakin lanjut, serta juga disebabkan kemungkinan kekurangan pencapaian dalam hidup individu tersebut sehingga menimbulkan perasaan tertekan,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), Mohd Azizee Hassan melihat isu SBSD sebagai satu barah kebejatan sosial dalam masyarakat serta satu bentuk hedonisme anak muda.
Ia juga satu bentuk manipulasi kelompok kapitalis yang mengaut keuntungan melalui aktiviti dalam talian dan ketempangan serta keruntuhan institusi kekeluargaan yang menuntut semua pihak menanganinya secara serius.
Masalah dan isu ini timbul bukan sahaja membabitkan pihak yang menawarkan ganjaran iaitu SD/SM tetapi juga pihak yang menerima tawaran SB yang rata-ratanya wanita muda dalam kalangan pelajar dan lepasan institut pengajian tinggi (IPT).
“Dari segi lain, banyak faktor yang menyumbang kepada kegiatan ini, antaranya ialah desakan materialistik untuk menampung keperluan hidup seperti membayar kos yuran pengajian yang tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah dan kesempitan kewangan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan, antara faktor lain ialah kewujudan aplikasi sugar book itu sendiri yang begitu mudah diakses menggunakan telefon pintar, faktor psikologi seperti kurang perhatian dan kasih sayang dari ibu bapa dan pegangan agama yang rapuh yang menyebabkan sebahagian mereka terjebak ke kancah tidak bermoral ini.
Memaknai falsafah pendidikan kebangsaan
Tidak dapat dinafikan, Malaysia telah pun ada satu sistem Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang terbukti baik dan dan berkesan, ditambah pula dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, di samping kurikulum pendidikan yang lengkap dan sempurna dari peringkat pra-sekolah hingga ke universiti.
Bahkan ada sebahagian universiti tempatan yang tergolong di bawah 100 buah universiti terbaik dunia, namun begitu Mohd Azizee berpandangan, di sebalik semua kejayaan ini, beliau berkata, masih ada kekosongan serta kelompongan yang perlu ditambah baik oleh pemegang taruh pendidikan.
“Kelompongan universiti kita ialah dalam erti kata memaknai dan menjiwai roh Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke dalam jiwa mahasiswa IPT kerana terlalu menumpukan aspek akademik dan memenuhi keperluan komersial sehingga mengabaikan aspek pengisian nilai dan moral.
“Jika ini dapat di atasi secara bersepadu dan holistik, usaha melahirkan insan yang seimbang dari sudut rohani, jasmani, intelek dan emosi akan tercapai. Terasnya mesti dengan membangunkan aspek kerohanian. Rohani yang seimbang akan menyempurnakan fakulti pembinaan insan yang lain.
Ditanya saranan beliau kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewujud dan menekankan program pembinaan sahsiah dan pembentukan akhlak sama ada dalam bentuk kokurikulum atau aktiviti luar kuliah, beliau berkata, ada benarnya orientasi pendidikan negara perlu kepada suatu anjakan paradigma dan pendekatan yang lebih segar.
“Anjakan yang dimaksudkan ialah dari sudut substance (pengisian program). Apa sahaja bentuk pengisiannya mestilah ada penekanan dan penerapan elemen kerohanian dan pembentukan jatidiri (kemampanan sahsiah) dalam kurikulum dan silibus universiti serta aktiviti kokurikulum.
“Kita perlu kembali kepada akar ilmu dan akar budi. Integrasi keilmuan dan pembinaan budi mesti menjadi acuan terbaik melahirkan graduan yang berilmu, seimbang, berdaya maju, kompetetif serta memiliki ketahanan diri yang kental,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan agar gerak kerja ini janganlah diletakkan ke atas bahu pentadbiran universiti semata-mata terutama Bahagian hal Ehwal Pelajar (HEP), tetapi juga semua pihak yang terlibat sebagai pemegang taruh Pendidikan IPT.
Perkukuh jati diri, maruah terbela
Mengakui isu SBSD ini merosakkan maruah anak muda wanita kita khususnya dan golongan Mufti juga telah bertegas agar kerajaan mengharamkan terus aplikasi dan aktiviti tidak bermaruah ini, namun pada akhirnya ia tetap berbalik kepada diri individu itu untuk membangunkan kembali jiwa Islamiyah dan kekuatan ummah, demikian ujar Mohd Azizee.
“Pokok pangkalnya, kembalilah kepada asas penghayatan agama yang kuat serta jati diri yang kukuh. Jika setiap individu memiliki benteng diri yang kuat dan kebal, apa sahaja cabaran dan dugaan dapat di atasi.
“Namun individu semata-mata tidak boleh dipersalahkan, ada faktor luar yang juga menyumbang kepada kerosakan ini. Budaya materialistik, hedonisme dan desakan kewangan juga adalah puncanya, ” katanya.
Beliau menegaskan, sebelum isu SBSD membarah dalam masyarakat dan dinormalisasikan ke arah aktiviti pelacuran dan perzinaan, pihak kerajaan perlu segera bertindak dengan menutup segala ruang yang membolehkan kegiatan ini bergerak bebas seperti menyekat aplikasi janji temu ini.
Mohd Azizee juga berharap mereka yang pernah terjebak dalam kancah maksiat itu dan kembali insaf, wajar dimanfaatkan supaya mereka dapat dipanggil untuk berkongsi pengalaman serta memberi kesedaran kepada pelajar sekolah dan IPT.
Bernama
Tue Mar 23 2021
Seksaan jiwa ini dikaitkan dengan Sindrom Stockholm yang juga menjadi antara punca sesetengah SB melakukan banyak kegiatan yang tidak diingini. - Gambar hiasan
Pesawah di Melaka boleh sewa dron untuk aktiviti pertanian - Exco
Muhamad Akmal berkata, perkhidmatan dron tersebut ditawarkan pada harga berpatutan sejak Jun lalu.
Perkukuh keselamatan digital, hukuman lebih berat tangani isu kanak-kanak hilang, penderaan seksual
Lee berkata isu ini memerlukan tindakan segera memandangkan statistik mendedahkan ramai kanak-kanak hilang berisiko menjadi mangsa eksploitasi.
AZAL umum penangguhan penerbangan ke tujuh bandar di Rusia
Azerbaijan Airlines (AZAL) mengumumkan akan menangguhkan penerbangan ke tujuh bandar di Rusia.
3 maut, 4 parah dalam kemalangan bas di utara Norway
Tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke tasik di utara Norway pada Khamis.
[TERKINI] Hospital terakhir di utara Gaza diserbu, dibakar
Hospital Kamal Adwan merupakan satu-satunya fasiliti kesihatan terakhir tinggal di utara Gaza.
AB Rauf sahkan ada rombakan kabinet negeri
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan kerajaan negeri akan melaksanakan rombakan portfolio exco dalam tempoh terdekat.
Penyedia diminta segera mohon lesen operasi di Malaysia
Penyedia platform media sosial diminta segera mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing menjelang penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Jan 2025.
Beri insentif kepada operator kenderaan berat adaptasi teknologi keselamatan – Penyelidik MIROS
Pegawai Penyelidik, Unit Kenderaan Dagangan (CVU), Pusat Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik (VSB), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ts. Ahmad Saife Salleh berkata operator kenderaan berat dalam negara wajar diberikan insentif untuk menggalakkan adaptasi teknologi keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
JPJ tingkat penguatkuasaan secara digital, kaji penggunaan AI
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meningkatkan usaha penguatkuasaan secara digital dan mengkaji penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan pesalah trafik dengan lebih efektif.
Kes demam denggi meningkat, dua kematian direkodkan
Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 1,407 kes pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51), iaitu bagi tempoh 15 hingga 21 Dis lepas berbanding 1,384 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Pengasas Sugarbook tidak hadir sebutan kes, mahkamah keluar waran tangkap
Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asnaf Anuar Sharuddin memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.
Kesan psikologi teruk, trauma berterusan bekas sugar baby
Mereka yang pernah terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini akan mengalami gejala serta trauma kemurungan yang teruk.
Pengasas aplikasi 'Sugarbook' dituduh esok
Pengarah Pendakwaan Selangor bersetuju untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
Pengasas Sugarbook ditahan
Siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai pengasas kepada aplikasi Sugarbook.
Lima cadangan kekang kegiatan 'sugar baby' pelajar IPT - Mahasiswi Sabah
Melalui penelitian kos sara hidup dan membuka ruang keusahawanan di dalam serta luar kampus, pelajar IPT dapat menjana pendapatan.