KUALA LUMPUR: Lapan wartawan tempatan antara 16 peserta yang terpilih menyertai latihan Rewriting The Story: Media, Gender and Politics in Malaysia, selama dua hari di ibu negara, baru-baru ini anjuran Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ).

Program inisiatif besama Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia dan Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia  (GAP.MY) itu bertujuan memperkasa peranan media dalam meningkatkan perwakilan gender yang adil dalam aspek politik dan pelaporan.

Presiden NUJ, Farah Marshita Abd Patah berkata, latihan itu tidak hanya membina pemahaman secara global mengenai perwakilan gender, tetapi juga untuk memperkukuh peranan wartawan dalam menyokong kesaksamaan gender dalam liputan berita terutamanya politik.

"Melalui latihan ini, wartawan dan peserta lain seperti aktivis pemimpin yang bekerja dalam bidang pemerkasaan gender dalam politik di Malaysia, berpeluang memberi input untuk pembangunan modul kebangsaan yang disesuaikan dengan konteks tempatan.

"Saya percaya latihan seperti ini dapat membantu dalam memastikan wartawan di Malaysia dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengenai hak kesaksamaan gender di negara ini dalam pelaporan mereka," katanya di sini pada Selasa.

Latihan dengan sokongan dana daripada Suruhanjaya Eropah itu dikendalikan pakar gender dari IFJ, Marie Palmer dan wartawan bebas yang juga aktivis kesaksamaan gender, Tehmina Kaoosji.

Menerusi latihan itu, peserta turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti merangkumi kesaksamaan gender, laporan politik yang adil serta penggunaan gambar.

Dalam Indeks Jurang Gender Global 2024 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), 
Malaysia berada di kedudukan ke-114 daripada 146 negara, merosot 12 tempat berbanding tahun lalu.

Berbanding Indonesia yang jatuh 13 tempat ke tangga ke-100, dan Filipina yang jatuh sembilan tempat ke kedudukan ke-25, Malaysia juga dilihat terus ketinggalan dalam mencapai kesaksamaan gender.

Thailand pula berjaya naik sembilan tangga ke kedudukan ke-65.

Laporan yang diterbitkan pada 11 Jun 2024 lalu itu menilai tahap pariti gender berdasarkan empat kategori iaitu penyertaan dan peluang ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kelangsungan hidup, serta pemerkasaan politik.