Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bekerjasama dengan polis Thailand dalam menyelesaikan kes berkaitan bekas pegawai PetroSaudi International, Xavier Justo yang kini ditahan di Bangkok atas dakwaan membocorkan maklumat sehingga mencetuskan kekecohan berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami memang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand dan perlu menunggu dahulu mereka selesaikan siasatan terhadap subjek (Justo).

“Saya telah membuat permohonan supaya kita juga diberi ruang untuk menemu bual Justo sebelum apa-apa tindakan diambil ke atasnya,” ujar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut beliau, pada 2 Julai nanti Timbalan Ketua Polis Thailand Jeneral Aek Angsananont akan datang ke Kuala Lumpur untuk berbincang dengan PDRM tentang langkah seterusnya yang akan diambil ke atas Justo.

Ditanya mengenai sama ada Justo akan diekstradisi ke Malaysia, Khalid hanya menjawab "perkara itu akan diputuskan kemudian".

BACA: 'Molek juga kalau PAC dapat keterangan daripada Justo,' kata Nur Jazlan

Beliau ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM 2015 di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengulas mengenai isu pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Melbourne, Australia.

Khalid memberitahu bahawa keseluruhan proses siasatan berkenaan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

BACA: Mara sedia bekerjasama dalam siasatan pembelian hartanah Australia

“Pihak polis buat masa ini tidak terlibat dalam siasatan tersebut kerana kami tidak nampak ada unsur jenayah pecah amanah (CBT), maka pihak SPRM yang menjalankan siasatan,” kata Khalid.

Sementara itu, Khalid turut mengulangi kenyataan berkenaan isu pegawai SPRM yang menyiasat satu dakwaan serahan wang rasuah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada Selasa lalu.

“Saya rasa pihak SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa itu merupakan kes salah faham.
“Pihak polis ketika itu melaksanakan tanggungjawab dalam siasatan kes kehilangan atau kecurian jongkong emas.

“Saksi-saksi yang dipanggil polis telah diarahkan untuk memulangkan semua wang yang diperolehi hasil penjualan jongkong emas tersebut,” ujar Khalid yang memberitahu pihak pengadu kepada SPRM itu telah menyangka bahawa polis ingin meminta wang daripada mereka.

Khalid menyimpulkan bahawa perkara itu telahpun diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

Dalam sidang media yang sama, Khalid turut memberitahu bahawa pasangan suami isteri yang diburu polis bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak berusia 5 tahun di Pasir Mas pada 25 Jun lepas, sudah ditangkap pada Ahad malam.

“Pasangan itu sudahpun ditahan dan kita tunggu saja perkembangan dari Ketua Polis Kelantan,” ujar beliau.

BACA: Polis Kelantan buru pasangan susulan kes dera kanak-kanak 5 tahun