KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan semua rayuan difailkan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, melepas dan membebaskan beliau dalam kes rasuah Visa Luar Negara (VLN).


Ringkasan AI
  • Pembatalan Rayuan: Mahkamah Rayuan membatalkan semua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Visa Luar Negara (VLN).
  • Keputusan Mahkamah Tinggi: Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, menyebabkan beliau dibebaskan daripada semua tuduhan.
  • Kes Rasuah: Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN.


Terdahulu, Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin berhubung keputusan pihaknya menarik balik rayuan.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah mengizinkan untuk Peguam Negara menarik balik rayuan yang telah dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (sebelum ini)," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada barisan peguam yang disifatkannya berusaha bertungkus lumus dan mengemukakan dua representasi bagi pihaknya.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Presiden UMNO itu sebelum itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ia bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan AS$15,000 untuk diri sendiri daripada syarikat sama yang beliau tahu ada kaitan dengan kedudukan rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.