KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas memfailkan permohonan agar Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat.

Dalam permohonan itu, yang difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 26 Ogos lepas, Thomas mendakwa Roz Mawar telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu dan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

"Tiada dalam mana-mana petikan buku saya yang bertajuk My Story-Justice in the Wilderness yang dirujuk atau dikemukakan oleh plaintif kepada mahkamah, atau dalam keseluruhan buku itu saya menulis bahawa saya mempunyai peranan dalam menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan saya telah mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat beliau berhubung peranannya dalam Felda dan Felcra atas dakwaan salah laku.

"Malah plaintif langsung tidak disebut walaupun sekali, atau pendakwaannya dibincangkan dalam buku saya. Berdasarkan alasan bertulisnya, saya percaya Roz Mawar telah menentukan terlebih dahulu keputusan saman plaintif terhadap saya dan saya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di hadapan beliau, yang saya berhak dari segi perlembagaan sebagai hak asasi," kata Thomas dalam afidavit sokongannya.



MAHKAMAH-TOMMY THOMAS 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Pada 3 Julai lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memfailkan saman tersebut pada Disember tahun lepas menamakan Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas, yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020, dalam afidavitnya menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai "tidak boleh dipertahankan."

Beliau berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas Pendakwa Raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasatan sepertu SPRM.

Thomas berkata beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan pada 26 Julai 2022, perbicaraan kes jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Jan 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

-- BERNAMA