KUALA LUMPUR: Kes saman difailkan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah di laman Facebooknya berkaitan perintah kuarantin membabitkan bekas perdana menteri itu, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz merekodkan penyelesaian kes itu selepas peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin memaklumkan bahawa pihak-pihak terlibat telah mencapai penyelesaian dengan syarat-syarat dipersetujui.

Peguam Mohd Shahril Madisa yang mewakili Mohd Puad mengesahkan kedua-dua pihak mencapai penyelesaian damai dan defendan (Mohd Puad Zarkashi) menawarkan kenyataan yang dipersetujui.

Mohd Puad yang membacakan kenyataan itu di mahkamah hari ini berkata pada 9 Feb 2021 beliau telah menerbitkan kenyataan di Facebooknya berkenaan tempoh kuarantin di bawah Perintah Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang dianggap tidak benar dan memfitnah Muhyiddin.

Beliau berkata pada 1 Mac 2021, Muhyiddin telah menyaman dan mendapatkan injunksi ex-parte terhadapnya dan beliau telah memadamkan kenyataan itu di semua laman media sosialnya.

"Isu itu timbul ketika negara mendepani pandemik COVID-19. Sejak itu Kerajaan telah berjaya membendung dan negara telah keluar daripada pandemik COVID-19.

"Saya berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana tidak memanjangkan lagi isu ini dan segala kesulitan amatlah dikesali," katanya.

Kenyataan yang dipersetujui itu akan diterbitkan di Facebook defendan atas nama "DrPuad Zarkashi".

Mohd Puad dan Muhyiddin kemudian bersalaman sebagai tanda silaturahim dan penyelesaian damai.

Mahkamah turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi Muhyiddin mendakwa pada 9 Feb 2021, Mohd Puad telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama 'DrPuad Zarkashi' dengan tajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.

Beliau berkata hantaran itu merujuk kepada 'PM' yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat serta memfitnah beliau.

Muhyiddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.

-- BERNAMA