ALOR SETAR: Sebuah kilang kitar semula di Taman Ria Jaya, Sungai Petani musnah terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Fataf Amdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 2.35 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.

Beliau berkata, kira-kira 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Sungai Petani, BBP Tikam Batu dan BBP Yan serta lapan jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran di kilang berkenaan.

"Kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis binaan kekal. Anggaran awal kemusnahan kilang barang kitar semula itu adalah sebanyak 80 peratus dan proses pemadaman menggunakan empat aliran dan pancutan air dari tangki jentera.

"Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan kerja-kerja pemadaman masih dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung kilang berkenaan berikutan premis itu pernah diserbu pihaknya dan sedang dalam proses pendakwaan. - BERNAMA