KUALA LUMPUR: Pihak bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, pembelaan akan mengemukakan representasi bagi mengkaji semula tiga pertuduhan menerima suapan RM700,000 yang dihadapinya.

Ia membabitkan dakwaan kes rasuah berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Rosli Ahmad, peguam, Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad berkata, representasi itu akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bulan ini.

Beliau memohon, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula semua pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudiannya memutuskan 18 Oktober depan untuk prosiding kes seterusnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail berkata, pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan, menerusi e-mel.

“Kami akan memanggil 20 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan, maka pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes,” katanya.

Mahkamah menjadualkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari pada tahun depan, bermula 5 hingga 8 Mei, 26 hingga 29 Mei dan 23 hingga 26 Jun.

Sayed Amir Muzzakkir, 42, didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Pengarah Urusan, Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia didakwa sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, dan di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 4 petang awal Disember dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian