KOTA BHARU: Sebanyak 2,271 kes jenayah komersial direkodkan di Kelantan sejak 2020 sehingga Jun tahun ini dengan jumlah kerugian sebanyak RM46.9 juta.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata daripada jumlah tersebut, 1,995 kes atau 87.8 peratus adalah melibatkan jenayah penipuan dalam talian.

Beliau berkata jenayah penipuan dalam talian atau scam yang kerap dilaporkan bermula Januari sehingga 30 Jun tahun ini adalah melalui sindiket Macau Scam iaitu 110 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM3.83 juta.

"Lain-lain kes yang kerap dilaporkan tahun ini adalah penipuan e-dagang (RM663,000) pelaburan dalam talian (RM1.23 juta) pinjaman tidak wujud (RM413,000) dan penipuan kerja sambilan dalam talian (RM1.05 juta).

"Polis juga menerima laporan penipuan love scam/parcel (RM348,000), menyamar kenalan di media sosial untuk pinjam wang (RM34,300) dan tipu menang cabutan bertuah (RM47,100)," katanya pada Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022, di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Kamaruddin Md Din dan duta kempen, penyanyi rock dan pelakon terkenal Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman.

Mengulas mengenai kempen tersebut, Muhamad Zaki berkata tips pencegahan serta modus operandi terbaru yang sering digunakan scammer akan didedahkan sekali gus memastikan masyarakat juga tidak terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan dengan memberikan akaun-akaun bank mahupun kad sim milik mereka.

"Tema kempen kali ini iaitu Let's Fight Scammer Together, saya menyeru semua lapisan masyarakat termasuk agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan juga komuniti untuk bersama-sama dalam sebarang bentuk aktiviti pencegahan jenayah komersial agar masyarakat tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti scammer.

"Melalui kempen ini juga, promosi penggunaan CCID Scam Response Center, CCID Infoline dan portal semakmule yang telah dibangunkan JSJK akan dipergiatkan. Ketiga-tiga platform ini disediakan sebagai satu inisiatif pencegahan jenayah dan diharapkan, ia akan dimanfaatkan secara maksimum," katanya.

-- BERNAMA