KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menempelak pihak yang mendakwa Op Global dan siasatan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) adalah tindakan berbaur politik.

Tegasnya, orang di luar sana boleh berkata apa sahaja namun yang menyiasat semua perkara adalah PDRM sendiri dan mereka hanya bercakap daripada apa yang didengar, bukan daripada siasatan.

Tambah beliau, tiada apa yang disorok atau ditambah dalam setiap kenyataan dikeluarkan PDRM, semuanya adalah hasil daripada siasatan dilakukan pihaknya, juga agensi lain terlibat.

“Kita tidak ada tambah dan sorok. Jadi apa juga masyarakat di bawah yang tidak tahu dan cakap, biarlah dia bercakap.

“Dia tidak menyiasat, dia mendengar cakap-cakap orang sahaja dia mengambil kira dulunya baik. Di atas mungkin baik, nampak macam penderma… di bawah menjadi hamba.

“Itu yang kita nampak dalam siasatan kita. Di atas nampak sangat mulia tetapi di bawah perhambaan berlaku. Itu yang kita siasat,” kata pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

PDRM menafikan Op Global bermotifkan politik


Katanya lagi, bukan hanya PDRM yang menyiasat kes tersebut, terdapat juga pihak lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melakukan perkara sama.

“Tidak akanlah ini (wakil daripada Jabatan KKM, JAKIM) pakat-pakat menipu? Tidak boleh.

“Pasal itu saya cakap kita menyiasat apa yang kita dapat, apa yang KKM, JAKIM dapat…itu yang kita dedahkan hari ini,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya tugas menyiasar kepada pihak berkuasa.