Ringkasan AI
- Seorang wanita mengaku di Mahkamah Majistret bahawa dia telah memadam gambar dan mesej daripada telefon bimbitnya sebelum membuat laporan polis mengenai kes gangguan seksual Ebit Lew.
- Wanita itu tidak pasti jika tindakannya memadam bukti adalah untuk menyelamatkan dirinya atau untuk menggambarkan dirinya sebagai isteri yang baik kepada suaminya.
- Ebit Lew menghadapi 11 pertuduhan menghantar perkataan dan gambar lucah kepada wanita tersebut melalui WhatsApp, dan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Wanita berusia 40-an itu berkata demikian selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes, semasa pemeriksaan balas peguam Datuk Ram Singh yang mewakili tertuduh pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah tersebut di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Ram Singh: Kenapa anda padamkan gambar anda atau teks mesej sebelum anda buat laporan polis?
Saksi: Saya rasa saya padam sebelum saya pasti untuk membuat laporan (polis). Memang dari awal ada saya padam mesej dari dia (Ebit Lew) dan dari saya juga sebab kalau ikut terlalu banyak mesej dari dia, yang tinggal itu saya tidak terpadam.
Pengadu itu juga tidak pasti jika tindakannya memadam bukti penting itu adalah untuk menyelamatkan dirinya apabila ditanya oleh Ram Singh bahawa "anda memadamkan bukti penting untuk menyelamatkan diri sendiri?"
Wanita itu juga memberi jawapan "tidak pasti", apabila Ram Singh bertanya sekiranya tindakan memadam bukti penting itu adalah untuk menggambarkan dirinya sebagai isteri yang baik kepada suaminya.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA