SHAH ALAM: Penyanyi Cliff Umar didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis 'heroin dan monoacetylymorphines' serta memberikan diri sendiri dadah THT, hujung Mei lalu.

Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, juga diperintah menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selama dua tahun.

Penyanyi itu yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja berwarna biru gelap, dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 13 bulan, jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, vokalis Projek Pistol itu didakwa ada dalam milikannya, dadah jenis 'heroin dan monoacetylymorphines', seberat 0.9 gram, di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa sengaja memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC), di tandas Balai Polis USJ8, Subang Jaya, di sini, pada jam 6 petang, hari sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, selain menjalani pengawasan bagi antara dua hingga tiga tahun.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pihak polis membuat rondaan, mereka mendapati penyanyi lagu ‘Wanita seluruh dunia’ ini menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, artis ini bertindak melarikan diri kemudian terjatuh ke bahu jalan sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badannya, lalu menyerahkan dadah itu sendiri ketika diperiksa anggota polis.

Semasa prosiding, peguam, Sallehuddin Salam yang mewakili penyanyi rock itu merayu, anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar minimum kerana mempunyai masalah kewangan.

“Dia yang bekerja sebagai pemuzik, tidak mempunyai pendapatan tetap malah tiada sebarang tawaran untuk membuat persembahan diterima, ketika ini.

“Berbekalkan simpanan yang ada, dia perlu menyara isteri dan empat anak iaitu paling bongsu berusia tujuh tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan, mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pencegahan, dengan mengambil kira kekerapan kes serta kepentingan awam.

Pada 30 Mei lalu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki jenis heroin, namun mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan laporan kimia, sebelum menjatuhi hukuman.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian