KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pencipta lagu prolifik Aina Abdul sekali lagi berjaya mengubah pentas menjadi kanvas magis dengan alunan vokal menusuk kalbu serta visual futuristik yang memukau dalam konsert jelajah album Imaji di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Memulakan persembahan dengan lagu Imaji dan Kejam, kelunakan suara Nurul Aina Abdul Ghani, 31, tidak mengambil masa lama untuk "merasuk" kira-kira 1,500 penonton yang hadir.

Sorakan dan teriakan "I love you Aina" tidak putus-putus kedengaran dari ruang tempat duduk penonton yang menyatakan sokongan kepada penyanyi kesayangan mereka sepanjang dua jam setengah persembahan berlangsung.

Aina yang berbusana hitam dengan corak abstrak ketika memulakan bicara, meluahkan rasa terharu akan sokongan peminat di konsert jelajah album pertamanya dan sempat berseloroh agar mereka tidur serta makan bersama-sama dengan album sulungnya itu.

Di babak kedua konsert, Aina yang tampil dengan busana merah jambu memberikan kejutan kepada para peminatnya apabila berkongsi kisah dua "anak" kesayangan beliau bernama Hero dan Susu.

fotoBERNAMA

"Aina nak introduce someone kepada kalian semua, tetapi dia ini cepat gemuruh. Dua makhluk (kucing) ini sangat mengubah kehidupan saya.

"Sebenarnya sesiapa yang mengenali saya, (akan tahu) saya seorang yang sangat takut kucing. Saya berjaya lawan ketakutan saya dan sejak itu saya mula mencari (kucing) yang ketiga," katanya yang turut menggalakkan peminatnya agar mengatasi dan mengawal sebarang ketakutan yang mereka miliki.

fotoBERNAMA

Telatah Aina dan kucing-kucingnya itu turut mencuit hati penonton apabila penyanyi tersebut membahasakan dirinya "mama" ketika "bercakap" dengan kucing-kucingnya itu.

"Mama nak work ni, jumpa kejap lagi".

Menyifatkan konsert itu sebagai paling sukar dan mencabar sepanjang kariernya, Aina menghiburkan peminat beliau dengan dendangan hampir 20 buah lagu, selain mengumumkan untuk berehat daripada mengadakan sebarang konsert solo pada 2025, bagi memberi ruang kepada dirinya mencuba perkara baharu dalam bidang muzik.

fotoBERNAMA

"Pada 2025, saya ingin mengembara dengan muzik saya dan saya mahu berkolaborasi dengan orang (artis) di dalam dan luar negara," katanya.

Babak terakhir menjadi segmen teristimewa buat peminat-peminatnya apabila Aina memilih untuk mendendangkan lagu 'Jangan Mati Rasa Itu'.

fotoBERNAMA

Jelas terhibur, penonton bukan sahaja menyanyi bersama-sama dengan beliau, malah ada yang berdiri di atas kerusi bagi melihat dengan lebih jelas penghibur kesayangan mereka.

Siri konsert jelajah anjuran Aina Abdul Entertainment ini bermula di Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak pada 27 Dis lepas dan akan berakhir di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 11 Jan depan.

-- BERNAMA