Ringkasan AI
- Polis menahan seorang pekerja kedai pajak gadai di Kuala Terengganu untuk membantu siasatan kes pembunuhan Norshamira Zainal, yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.
- Suspek utama, yang dipercayai menggadaikan gelang emas milik mangsa bernilai RM30,000, telah ditahan dan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
- Pembunuhan ini disahkan bermotifkan samun, dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti jumlah sebenar barang kemas yang digadai.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di tempat kerjanya di sebuah kedai pajak gadai pada 10.30 pagi semalam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki telah mengunjungi kedai pajak gadai berkenaan dan menggadaikan gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.
"Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.
"Perintah reman dikeluarkan pagi tadi oleh Mahkamah Majistret Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari seterusnya mengesahkan pembunuhan peniaga wanita itu adalah bermotifkan samun.
Semalam polis telah menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada 5.30 pagi dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.
Suspek berusia 53 tahun itu direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini Khamis lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)