Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya gengsterisme tidak sesekali diizinkan berlaku dalam pendidikan, bagaimanapun beliau menyifatkan perkara itu hanya berlaku dalam kelompok kecil mahasiswa.
Kenyataan Anwar menyusul ketika kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior, hangat diperkatakan.
"Ini saya nak anak-anak memahami (budaya samseng) hanya dalam kelompok kecil dan bukan keseluruhan mahasiswa. Tetapi budaya itu tidak mengizinkan.
"Ini budaya samseng, buli, gengsterisme... dalam sistem pendidkan kita di sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, Maahad Tahfiz atau sekolah agama..
"Ini menyebut ada kegilaan kerana kita bicara soal ilmu dan ritual, serta akhlak dan nilai. Kita ada disiplin ketenteraan tetapi tidak tahu disiplin," katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di UPNM.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui budaya samseng dan buli menjadi cabaran kepada kerajaan dan kepimpinan universiti termasuk Naib Canselor.
Justeru, beliau menegaskan dalam program pendidikan dan latihan, aspek nilai dan akhlak perlu ditekankan bagi mengelakkan berlaku budaya-budaya yang bertentangan dengan undang-undang.
Dalam program sama, Anwar turut berkongsi bahawa beliau sebelum ini pernah bertemu dengan lima bekas penuntut UPNM yang sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut UPNM yang mengambil jurusan kejuruteraan didakwa menjadi mangsa buli penuntut senior cedera dipercayai ditekap seterika.
Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.