MELAKA: Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka memberi jaminan kerja-kerja baik pulih lubang benam sedalam dua meter di depan Balai Polis Ayer Keroh yang berlaku pada pagi Sabtu akan disiapkan dalam tempoh tiga hari.


Ringkasan AI
  • Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka memberi jaminan kerja-kerja baik pulih lubang benam sedalam dua meter di depan Balai Polis Ayer Keroh akan disiapkan dalam tempoh tiga hari.
  • Pengarah JKR Melaka, Mohamad Salzeli Mokhtar, menyatakan kejadian mendapan berlaku akibat aliran air longkang yang melemahkan struktur tebing, dan kerja-kerja pembaikan segera dilakukan.
  • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, menggesa kajian semula projek pemasangan pembetung untuk memastikan ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kejadian serupa.


Pengarahnya, Mohamad Salzeli Mokhtar berkata, kejadian mendapan yang berlaku seawal jam 3 pagi di Jalan TU2, Taman Tasik Utama, di sini, disedari pihak balai polis berdekatan dan kerja-kerja pembaikan segera dilakukan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku didakwa berpunca disebabkan aliran air longkang yang mengalir di celah-celah pembentung yang renggang hingga melemahkan struktur tebing sebelum berlaku jalan berlubang.

Keadaan lubang benam sedalam dan selebar dua meter yang berlaku awal pagi tadi.

"Sepatutnya air longkang tidak masuk ke sini dan ada saliran lain, namun itu yang berlaku mendapan sedalam dan selebar dua meter.

"Tindakan awal kita akan berhentikan pengaliran air itu dan akan membuat pemeriksaan lanjut di sepanjang pembentung tersebut bagi memastikan tiada ruang di antara pembetung hingga air boleh mengalir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi lubang benam di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, kerja-kerja pembaikan segera dilakukan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu selain berharap orang ramai tidak gusar dengan beberapa insiden lubang benam yang dilaporkan sebelum ini.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana JKR sentiasa membuat pemantauan di setiap jalan di negeri ini," katanya lagi.

Pihak berkuasa menutup jalan bagi memudahkan kerja-kerja baik pulih dijalankan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang turut meninjau lokasi, berkata, bagaimanapun bernasib insiden jalan berlubang itu tidak melibatkan kecederaan ataupun kemalangan jiwa kerana tiada kenderaan melalui jalan itu ketika kejadian berlaku.

Ujarnya, menggesa pihak berkaitan mengkaji semula projek pemasangan pembetung yang dijalankan sama ada benar-benar mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya kerana telah beberapa kali kejadian seumpama ini dilaporkan bukan sahaja di negeri ini.

"Sebelum perkara buruk berlaku, lebih baik tindakan diambil dan tiada siapa sangka di bawah tanah ini telah kosong," katanya. -Sinar Harian