Steve Limani, jurucakap polis negeri Pennsylvania berkata pada Rabu, operasi kini beralih daripada usaha menyelamat kepada usaha pencarian. Jabatan tersebut yakin wanita itu berada di dalam lohong berkenaan, namun disebabkan bekalan oksigen dan keadaan di situ, mereka mengandaikan dia tidak lagi hidup.
Pihak berkuasa percaya wanita itu terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba terjadi pada petang Isnin ketika sedang mencari kucingnya, Pepper. Keluarganya menghubungi polis beberapa jam kemudian. Petugas kecemasan menemukan cucunya yang berusia lima tahun dalam keadaan selamat di dalam kereta wanita itu.
Anggota polis kemudian menemukan sebuah lubang di tanah, yang bersaiz kira-kira seperti penutup lubang pembetung. Lubang itu dipercayai pintu masuk ke sebuah terowong lombong lama iaitu tinggalan aktiviti perlombongan arang batu yang banyak di kawasan itu. Menurut laporan, lubang itu mempunyai kedalaman sekitar 10 meter dan melebar di bawah permukaan bumi.
Menurut Perkhidmatan Geologi AS (USGS), lubang benam ialah penurunan semula jadi tertutup di permukaan tanah yang berlaku akibat penyingkiran bahan dari bawah tanah atau hakisan secara beransur-ansur pada permukaan itu.
Lubang benam lazim berlaku di kawasan bekas lombong. Menurut USGS, lubang benam di AS menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya US$300 juta setiap tahun dalam tempoh 15 tahun yang lalu. Bagaimanapun, data mengenai jumlah kejadian lubang benam di AS tidak tersedia kerana ia tidak direkodkan, menurut agensi itu.
-- BERNAMA