Ringkasan AI
- Kereta yang digunakan Zuraidi Mohamed dan keluarganya untuk berulang-alik ke hospital terbakar dan meletup di Lebuh Raya Rakyat.
- Semua ahli keluarga, termasuk ibu dan kakaknya, selamat keluar dari kereta sebelum ia terbakar sepenuhnya.
- Keluarga kini menghadapi kesukaran untuk melawat bapa mereka di hospital tanpa kereta tersebut, tetapi mereka tetap berusaha menjaga bapa yang sakit.
Peniaga dalam talian, Zuraidi Mohamed, 39, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dia bersama kakaknya yang memandu kereta, Zuraida Mohamed, 38, serta ibu, Azizah Awang Deraman 68, dalam perjalanan pulang ke Kok Lanas dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas menjaga bapa mereka di hospital itu.
Dua lagi ahli keluarga Zuraidi yang turut berada dalam kereta Proton Persona itu ialah abang dan adik lelakinya.
Menurut Zuraidi, kereta berkenaan tiba-tiba mengeluarkan tanda amaran berlaku masalah enjin menyebabkan kakaknya segera memberhentikan kereta di tepi lebuh raya dan mengarahkan semua penumpang keluar.
"Saya bersama adik dan abang sempat membuka bonet belakang untuk mengambil barang-barang kami dan berlari meninggalkan kereta selepas melihat asap tebal dan api dari bahagian enjin kereta.
"Kami semua terkejut apabila api mula merebak dan hanya mampu melihat dari jauh ada barang yang 'terbang' ke seberang jalan ketika kereta meletup dengan kuat," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, pada masa sama, adiknya terus menghubungi anggota bomba yang tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Bercerita lanjut, Zuraidi memberitahu, mereka biasanya akan bersama menjaga bapanya, Mohamed Yusoff Awang Besar, 78, yang sudah sebulan terlantar akibat kencing manis dan buah pinggang tahap lima.
Jelasnya, kereta yang dibeli Zuraida lima tahun lalu itu bertujuan memudahkan ahli keluarga terutama untuk membawa ibu bapa menerima rawatan jika perlu.
Anak kelima daripada enam beradik itu juga tidak tahu punca kebakaran tetapi bersyukur kerana semua mereka terutama ibunya selamat dan tiada sebarang kecederaan.
"Bagaimanapun, keadaan menjadi sukar apabila tiada lagi kereta yang dibeli kakak untuk membawa emak melawat ayah di hospital.
"Selepas kejadian itu, setiap hari emak akan menunggu kakak pulang dari kerja dan mengambilnya untuk ke hospital manakala saya berulang-alik dengan motosikal atau kenderaan e-hailing," katanya.
Zuraidi memberitahu, bapanya memerlukan lebih banyak perhatian selepas baru sahaja sedar daripada ditidurkan beberapa minggu lalu.
"Alhamdulillah semua adik-beradik berusaha meluangkan masa dan bergilir-gilir mengambil cuti untuk menjaga ayah yang sakit," katanya.
Sebelum itu, tular video di aplikasi TikTok sebuah kereta terbakar dalam kejadian di satu lebuh raya dan anggota bomba sedang memadamkan kebakaran itu. -Sinar Harian