KUANTAN: Lima sekeluarga berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka terbakar di Kilometer 2.9 menuju Genting Highlands, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kelima-lima mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka.

Menurut Zulfadli, lima anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highland ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kita dapati sebuah kereta jenis Hyundai Elantra terbakar dan mengelunsur turun kira-kira 100 meter dalam keadaan api sedang marak.

"Justeru, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos bantu mula dibantu hos dari Unit Kebakaran Genting Highlands ketika kejadian itu berlaku," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.



Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dan  kereta tersebut musnah hampir 80 peratus.

Jelasnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sebelum ini tular satu video berhubung kejadian yang  sempat dirakam seorang netizen dipercayai berada di atas kereta kabel sebelum dimuat naik melalui aplikasi Tiktok.

Berdasarkan rakaman video itu, beberapa pemilik kenderaan berdepan detik cemas selepas kereta terbakar itu mengelungsur turun dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).