Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, penahanan wanita itu berkaitan beberapa transaksi pengeluaran wang milik Sabari Baharom, 62, sepanjang tempoh lelaki berkenaan dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, ditanya sama ada wanita itu adalah individu sama yang direkodkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu melakukan transaksi wang berkenaan, Fisol enggan mengulas lanjut.
"Siasatan masih dilakukan dan jangan buat sebarang spekulasi kononnya polis tidak melakukan tindakan dan sebagainya.
"Kita nampak kes ini ada perkembangan malah siasatan masih diteruskan sehingga kini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pesara pegawai kewangan Felcra dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini pada 3 September lalu.
Kereta Proton Waja yang dipandunya kemudian ditemui penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik. Lelaki itu bagaimanapun tidak ditemui bersama kenderaan berkenaan.