Kerajaan akan mewujudkan pelbagai saluran untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai penyelarasan subsidi minyak yang berkuatkuasa pada Selasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagaimanapun berkata, tanggungjawab itu juga terletak di bahu semua pihak untuk memahami keadaan ekonomi global ketika ini.

“Jika rakyat mahukan perkhidmatan di bandar yang lebih baik seperti di United Kingdom sebagai contoh perkhidmatan kenderaan awam serta sekolahnya, orang ramai perlu membuat bayaran yang lebih mahal untuk menikmati semua itu.

Sekurang-kurangnya kini kerajaan menawarkan harga minyak yang lebih murah berbanding negara lain," kata Shabery.

Bagaimanapun beliau bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan berjimat cermat dalam melaksanakan pelbagai program kecuali program yang memberi pulangan pendapatan kepada negara.

Pada masa sama, beliau tidak hairan jika isu penyelarasan subsidi itu dimanipulasikan pembangkang sebagai modal politik untuk menarik sokongan rakyat.