Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah pro aktif untuk menggalakan inovasi, meningkatkan kemahiran bakat serta mengasah kemahiran generasi muda.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara usaha yang dilakukan ialah menganjurkan program eUsahawan Hero Muda.

Beliau juga menjelaskan Program eUsahawan Hero Muda merupakan antara yang diberikan perhatian utama oleh pihaknya untuk melatih usahawan muda dalam bidang digital.

"Mereka ini memang dilatih menjadi usahawan muda khususnya dalam bidang digital. Mereka (usahawan muda) tahu bagaimana untuk mempromosikan produk-produk menggunakan teknologi tinggi dalam dunia globalisasi.

"Kami (KBS) berharap agar program ini terus ditambah baik dan dapat dikongsikan diseluruh Malaysia supaya manafaatnya dapat dirasai oleh semua," katanya selepas berucap dalam sidang kemuncak Hero Muda 2019 anjuran KBS, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Facebook Malaysia.


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri menjelaskan sasaran awal MDEC dan KBS ialah untuk melatih 10,000 usahawan muda menerusi program eUsahawan.

"Usahawan muda menerusi program eUsahawan ini, sasarannya masa kita mula-mula kongsi dengan Kementerian Belia dan Sukan ialah 10,000 peserta tapi pada ketika ini kita dah capai 20,653 peserta.

"Jadi itu menunjukkan minat usahawan muda dan usahawan digital," katanya.

Surina juga menjelaskan MDEC dan KBS juga telah mengadakan Kem Jati Diri eUsahawan Hero Muda di seluruh negara bermula tahun ini.

Program tersebut mendapat sokongan Facebook Malaysia dan ia merupakan medan menyediakan kemahiran pemasaran digital terkini yang dirangka khas untuk belia.

Program eUsahawan Hero Muda 2019 berjaya melatih seramai 20,653 anak muda di seluruh negara membabitkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM52.4 juta.

Menerusi program tersebut, anak muda dilatih menjadi usahawan, khusus dalam bidang digital, dengan cara mempromosikan produk menggunakan teknologi tinggi dalam dunia globalisasi.

Sejak dilancarkan pada 2015, program itu berjaya melatih seramai 328,948 usahawan mikro di seluruh negara dengan transaksi jualan melebihi RM668 juta.