Pada Khamis, Lahore mencatatkan Indeks Kualiti Udara (AQI) sebanyak 201, yang kedua tertinggi di dunia, mendorong kerajaan mengisytiharkan kabus asap sebagai "bencana."
Menurut satu notis kerajaan, beberapa aktiviti yang menyebabkan pencemaran telah dilarang di seluruh wilayah itu, termasuk pembakaran sisa tanaman, sisa pepejal, tayar, getah, dan plastik, serta penggunaan kenderaan mengeluarkan asap yang kelihatan atau pencemaran melebihi had yang dibenarkan.
Permulaan kabus asap yang lebih awal tahun ini turut mendorong Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz, untuk mengadakan kerjasama dengan Punjab di sebelah India yang berdekatan, yang menghadapi masalah serupa bersama Delhi.
Dalam laporan terbaharunya, Tabung Alam Sedunia (WWF)-Pakistan mencadangkan langkah jangka sederhana dan panjang, termasuk pembinaan kapasiti untuk petani mengenai pengurusan sisa tanaman, mempromosikan tenaga boleh diperbaharui, pematuhan dalam sektor perindustrian, penggunaan sistem pemantauan berasaskan sensor kos rendah, ujian pelepasan kenderaan mandatori, dan pengurusan trafik bersepadu.
Laporan itu mengenal pasti penyumbang utama kepada kualiti udara yang buruk sebagai pelepasan kenderaan, pembakaran sisa tanaman, aktiviti perindustrian, dan pembakaran arang batu.
Ia juga mencadangkan pemerkasaan penggunaan kenderaan elektrik (EV), peningkatan model pembangunan mampan, pengasingan zon perindustrian, pengembangan rangkaian transit massa, dan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA