Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk memperkukuh hubungan ketenteraan antara Malaysia dan Pakistan semasa kunjungan hormat Ketua Angkatan Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir.
- Anwar mengakhiri lawatan negara selama tiga hari ke Pakistan dengan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dan menerima pengiktirafan tertinggi negara itu, Nishan-e-Pakistan.
- Anwar memuji peranan Angkatan Tentera Pakistan dalam keamanan serantau dan menjemput Jeneral Munir untuk mengunjungi Malaysia, yang dihargai oleh Jeneral Munir sebagai langkah memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Laporan tersebut menyatakan bahawa Anwar menegaskan "keperluan untuk meningkatkan hubungan dua hala, terutamanya hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara sahabat" semasa kunjungan hormat Ketua Angkatan Tentera Pakistan (CoAS) Jeneral Asim Munir.
Perdana Menteri mengakhiri lawatan negara selama tiga hari ke Pakistan semalam selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Shehbaz Sharif, dan menerima pengiktirafan awam tertinggi negara itu, Nishan-e-Pakistan oleh Presiden Pakistan Asif Ali Zardari.
Perdana Menteri Malaysia itu juga menyampaikan ucap tama di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) serta bertemu dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Pakistan.
Radio Pakistan turut melaporkan bahawa Anwar memuji "peranan Angkatan Tentera Pakistan dalam keamanan dan kestabilan serantau, mengakui profesionalisme dan pengorbanan mereka dalam memerangi keganasan".
Beliau juga menjemput Jeneral Munir untuk mengunjungi Malaysia dan sebagai balasan Ketua Angkatan Tentera Pakistan itu mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas jemputan tersebut dan menghargai lawatan Perdana Menteri ke negara itu.
Munir berkata kepada radio negara itu, bahawa lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan akan membantu "memperkukuh lagi hubungan yang berterusan dan bersejarah antara kedua-dua negara serta angkatan tentera mereka".
-- BERNAMA