ISLAMABAD: Larangan menyertai perhimpunan dikuatkuasakan di Islamabad, Rawalpindi, Sargodha dan Attock, Pakistan, sebagai persediaan menghadapi protes Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dirancang di sini hari ini.

Notis yang mengesahkan pelaksanaan Seksyen 144, berkuat kuasa dari 4 hingga 6 Okt, telah dikeluarkan, lapor portal berita tempatan, AAJ News.

Menurut portal itu juga, sekolah-sekolah swasta di ibu negara Pakistan ini ditutup hari ini manakala sumber dipetik berkata, akses ke Rawalpindi akan dihadkan, dengan perkhidmatan Bas Metro digantung dan Lebuhraya M1 serta M2 ditutup sepenuhnya.

Akses dari Taxila, Chakrial, Rawat, dan Lapangan Terbang juga akan disekat.

Sementara itu, penduduk Islamabad dan Rawalpindi hari ini dilapor berhadapan kesesakan trafik yang teruk dan gangguan perkhidmatan telekomunikasi terutama internet terjejas di kebanyakan kawasan.

Kesesakan berlaku selepas pihak berkuasa tempatan melaksanakan sekatan jalan secara meluas menjelang protes berkenaan yang digerakkan oleh pengasas PTI, Imran Khan.

Difahamkan, kontena dan halangan jalan yang lain diletakkan di beberapa laluan pintu masuk dan keluar ibu negara, untuk menyekat pergerakan peserta protes sekali gus menjejaskan aliran trafik.

Kawasan diklasifikasikan sebagai zon merah, termasuk NADRA Chowk dan Express Chowk, yang menjadi antara lokasi berkumpul peserta protes, telah ditutup sepenuhnya, lapor portal berita tempatan AAJ News.

Portal itu melaporkan, akses di Jalan Margalla dan Ayub Chowk juga terhad.

Bagi menghalang penyokong PTI daripada memasuki ibu negara, kontena turut diletakkan di beberapa bahagian lebuh raya utama, terutamanya bagi menghalang laluan dari Khyber Pakhtunkhwa dan Punjab.

Pasukan keselamatan, termasuk anggota polis dan separa tentera juga dikerahkan ke seluruh kawasan untuk mengekalkan kawalan.

Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi mengumumkan langkah ketat untuk menghalang penyokong PTI daripada sampai ke lokasi berkumpul peserta protes, D-Chowk.

Naqvi menegaskan bahawa perhimpunan berhampiran zon diplomatik tidak akan dibenarkan kerana kepentingan nasional semasa acara-acara berprofil tinggi.

AAJ News melaporkan, protes ini kebetulan berlaku ketika lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

Anwar dijadual meninggalkan Islamabad pagi ini (waktu tempatan) dalam rangka Lawatan Negara selama tiga hari di Pakistan.

Sementara itu, portal itu melaporkan, pengguna internet di seluruh Islamabad dan Rawalpindi kini mengalami kelajuan yang perlahan pada data mudah alih dan sambungan jalur lebar.

Pihak berkuasa belum memberikan penjelasan rasmi atau jangka masa untuk menyelesaikan isu ini, menurut AAJ News.