Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kelulusan bagi penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak, mengikut fasa-fasa tertentu.

Jelas Najib, bagi fasa pertama, penurunan kuasa itu akan diberikan kepada Pengarah Jabatan Kerajaan di negeri Sarawak.

Ia membolehkan Pengarah Jabatan Negeri membuat keputusan bagi sebarang keperluan, tanpa perlu merujuk kepada peringkat pusat.

"Saya juga telah menjanjikan bahawa kita akan memperkasakan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak. Antara yang kita akan lakukan ialah supaya lebih banyak keputusan akan dibuat bukan di Putrajaya tetapi diturunkan ke peringkat negeri Sarawak,"

"Dalam fasa pertama, kita akan perturunkan kuasa kepada Pengarah Jabatan kerajaan di peringkat negeri Sarawak akan diberikan kuasa lebih untuk membuat keputusan di negeri sarawak dan tidak perlu merujuk ke Putrajaya," kata Najib ketika berucap merasmikan majlis memulakan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi jajaran Telok Melako ke Sematan.

Jelas Najib, kerajaan pusat akan berunding dengan kerajaan negeri supaya mana-mana projek tertentu akan dimuktamadkan sendiri oleh kerajaan negeri.

"Kita juga akan merundingkan dengan seerat-eratnya dengan kerajaan negeri sarawak supaya keutamaan projek, projek-projek luar bandar, projek infrasturkur, projek melibatkan sekolah, hospital dan sebagainya, kita mahu projek ditentukan oleh kerajaan negeri Sarawak,"

"Kita tidak perlu kepada pertindihan antara persekutuan dan negeri, kalau negeri ada keupayaan kita akan serahkan kepada negeri untuk melaksanakan projek projek yang berkenaan," tegas Najib.