KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan sekitar RM1 bilion bagi menyelenggara laluan redline melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB), kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan sekitar RM1 bilion bagi menyelenggara laluan redline yang melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB).
  • Redline merujuk kepada laluan asal yang dibina sebelum pembinaan LPB. Laluan ini perlu dinaik taraf agar mengikut standard projek mega LPB.
  • Jajaran redline sekitar 140 kilometer melibatkan jalan persekutuan dan jalan negeri di Sarawak. Kawasan terlibat termasuk Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau, dan Miri.


Beliau berkata redline yang membawa maksud laluan asal sedia ada yang dibina sebelum pembinaan LPB, perlu dinaik taraf agar mengikut standard projek mega berkenaan.

"Redline ini memang perlu kita sempurnakan, lebih kurang 140 kilometer...Tapi sudah sekian lama ia (redline) tidak dibina sebagai LPB, jadi sekarang (jalannya) sudah rosak jadi perlu kita sempurnakan ikut standard LPB.

"Sekarang kami di KKR tengah berusaha nak bagaimana nak mohon kewangan untuk kita bina semulalah redline itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rumah Terbuka Gawai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Pada April, Nanta dalam kenyataannya berkata jajaran redline yang melibatkan jalan persekutuan dan jalan negeri di Sarawak, akan direka bentuk semula dan dinaik taraf agar mengikut standard Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri.

-- BERNAMA