"Kerajaan perlu jujur dan berani menanggani isu ini. Mereka perlu berhadapan dengan realiti untuk kebaikan semua. Campur tangan kerajaan masih diperlukan dah harus dilakukan dengan segera sebelum adanya ketegangan hubungan antara rakyat Malaysia.
Jika dasar-dasar tertentu tidak lagi berguna, ia harus dipinda," kata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pada pelancaran buku "The Colour of Inequality" oleh ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.
Buku 'The Colour of Inequality' oleh Dr Muhammed Abdul Khalid. - Gambar Fail
Beliau berkata bahawa dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysian negara berpendapatan tinggi, kejayaan itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit sahaja.
Pendidikan, peluang pekerjaan dan memiliki rumah sendiri merupakan beberapa faktor yang menentukan kejayaan ekonomi.
"Ya, kita ke arah kemajuan namun ramai yang ketinggalan. Mereka yang berpendapatan rendah masih lagi tidak mampu memiliki rumah sendiri.
"Aset kewangan masih lagi menjadi isu penting. Masih ramai yang mempunyai simpanan kewangan yang amat terhad," kata Daim dalam ucapan beliau.
Sementara itu, Muhammed berkata memberi fokus kepada pertumbuhan sahaja tidak akan menyeselaikan masalah ini. Semua orang berhak untuk mendapatkan peluang yang adil namun ketidaksamaan masih ada di sektor pendidikan dan pasaran buruh
"Pada tahun 2020, Kementerian Pendidikan mencadangkan 90 peratus yang mahukan pengajian tinggi harus memasuki Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tetapi ramai tidak akan mampu kerana tidak mempunyai aset kewangan.
"Dalam pasaran buruh pula, pekerja wanita menerima gaji 30 peratus lebih rendah berbanding lelaki," kata beliau.
Kajian dalam buku ‘The Colour of Inequality' turut mengariskan beberapa realiti iaitu lebih 53 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai apa-apa aset kewangan. Lapan puluh peratus rakyat yang berpendapatan rendah cuma miliki 5.5 peratus dari aset kewangan negara.
Statistik pemilikan aset kewangan tersebut menggambarkan sebahagian besar rakyat tidak mempunyai lebihan pendapatan setelah ditolak hutang dan perbelanjaan bulanan untuk menabung. Ia turut menggambarkan betapa meruncingnya masalah pendapatan boleh belanja (disposable income) rakyat Malaysia.
Muhammed setuju dengan Daim bahawa negara perlu jujur dan berani untuk menganggani isu ini.
"Pasti akan ada 'denda' untuk melakukan ini. Kita harus melakukan perkara yang betul walaupun ia tidak popular. Namun kita tidak mahu anak cucu kita tanya 'Apa yang anda lakukan?' di masa hadapan," kata Muhammed dalam ucapan beliau.