Kerajaan Negeri Sembilan tidak lagi akan meluluskan sumbangan bagi mana-mana sekolah di negeri ini untuk membuat program lawatan sambil belajar.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata langkah ini diambil dalam mengawal perbelanjaan kewangan kerajaan negeri.

"Selain itu bagi saya, apa yang penting sebenarnya, kalau sekolah memohon sumbangan itu biarlah untuk meningkatkan prestasi pendidikan atau kokurikulum sekolah...itu yang lebih utama. Bukan saya kata program lawatan sambil belajar itu tidak penting.

Saya lihat terlampau banyak permohonan program lawatan sambil belajar ini...malah, ia dijadikan acara tahunan. Ada yang membuat program itu di dalam negeri dan juga di luar negeri seperti ke Indonesia. Saya juga dapati, kadang-kadang program ini lebih ramai guru yang menyertainya, berbanding pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Modal Insan Terbilang Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum, pelancaran Bulan Kebangsaan dan perasmian gelanggang futsal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Maznah Abu Bakar dan Pengetua SMK Seri Ampangan Sadariah Md Jali.

Bagaimana pun, katanya beliau akan pertimbangkan untuk memberikan sumbangan itu kepada sekolah yang menunjukkan prestasi yang cemerlang sebagai insentif kepada guru-guru sekolah berkenaan.

Katanya sebelum ini beliau pernah meluluskan sumbangan kepada sekolah untuk program lawatan sambil belajar di antara RM5,000 hingga RM20,000.

"Program lawatan sambil belajar ini, saya rasa tidak mencapai matlamat. Jadi, kita (kerajaan negeri) mengambil keputusan menghentikan memberi sumbangan bagi sekolah-sekolah di negeri ini untuk program lawatan sambil belajar," katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri akan memohon untuk mengadakan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) baharu di Jempol berikutan penutupan RTC Rembau.

Katanya RTC di Jempol adalah sesuatu yang diperlukan oleh penduduk di daerah itu.

"Lokasi RTC di Jempol itu sudah dikenal pasti dan saya harap ia dapat segera disediakan," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga bercadang untuk membina sebuah Mahkamah Tinggi Syariah baharu di Jempol selain yang sedia ada di Seremban bagi memudahkan urusan masyarakat di daerah Jempol dan sekitarnya.

Mengenai langkah kerajaan memansuhkan Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), beliau berkata langkah itu wajar pada masa ini kerana masalah kewangan negara.

Katanya PLKN melibatkan kos yang tinggi, manakala BTN pula keperluannya tidak mendesak.

"Dalam hubungan ini, kerajaan perlu melihat yang mana perlu diutamakan dalam perbelanjaan kewangan negara," katanya.

-- BERNAMA