SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan negeri itu bebas kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini atau lebih awal daripada itu, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu berkata berdasarkan data Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di negeri itu ialah seramai 3,530 orang sehingga 13 Feb lalu.

Katanya berdasarkan eKasih, jumlah itu berkurangan kepada 2,851 orang setakat 31 Mei.

"Walaupun jumlah KIR Miskin Tegar mencatatkan penurunan seramai 679 orang dalam tempoh tiga bulan, namun jumlah KIR Miskin Tegar di negeri ini masih tinggi.

"Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyasarkan negeri ini harus bebas miskin tegar lebih awal iaitu menjelang akhir tahun ini.

"Pentadbiran kerajaan negeri telah merencanakan tindakan bersepadu bersama jabatan dan agensi di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Antara jabatan dan agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMNS) dan jabatan berkaitan untuk mencapai sasaran tersebut.

Katanya, Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) negeri turut mengaktifkan semula peranan Kumpulan Fokus di peringkat negeri dalam usaha membasmi kemiskinan.

Dalam pada itu Muhamad Nahar berkata bagi program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) yang bermula pada tahun lepas, ia melibatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak Universiti Awam, badan bukan kerajaan (NGO), serta agensi berkaitan.

Katanya pelaksanaan program BMT di negeri itu dimulakan dengan penyelarasan di peringkat negeri oleh UPEN negeri sebelum pemadanan program berdasarkan profil dan latar belakang peserta dilaksanakan di lapangan oleh pihak pejabat daerah.

"Seterusnya senarai tersebut dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi bagi tindakan pertimbangan kelulusan.

"Satu sesi pengenalan (ice-breaking) bersama pihak kementerian, UPEN, pejabat daerah dan peserta BMT diadakan di setiap lokaliti bagi menerangkan dengan lebih terperinci pelaksanaan program BMT," katanya.

Beliau berkata Majlis Gerak Mula (MGM) program BMT pula dilaksanakan selepas sesi ice-breaking bagi memastikan komitmen para peserta dengan menandatangani Borang Aku Janji.

Katanya peruntukan sebanyak RM4,760,600 telah disalurkan kepada kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) yang merupakan rakan strategik bagi pelaksanaan program BMT ini.

Muhamad Nahar berkata peruntukan tersebut seterusnya disalurkan kepada pejabat daerah bagi tujuan proses perolehan peralatan dan keperluan pelaksanaan program mengikut skop program yang telah diluluskan oleh kementerian.

"Bagi pelaksanaan program BMT Fasa Satu di negeri ini, terdapat empat lokaliti rintis terpilih melibatkan keseluruhan 68 KIR Miskin Tegar.

"Prestasi peserta dinilai setiap minggu melalui laporan yang dikemukakan kepada pihak UPEN negeri," katanya.

Selain itu, katanya Kerajaan Persekutuan juga melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada Februari lalu dengan tiga inisiatif utama seperti Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan), Inisiatif Usahawan Tani (Intan) dan Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) yang turut dilaksanakan di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan bagi 2023 kepada Kementerian Ekonomi untuk menjayakan inisiatif itu.

Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara dalam masa terdekat yang antara lain bagi membincangkan tentang usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negara ini.

-- BERNAMA