Ringkasan AI
- Dua laluan alternatif, Seri Menanti-Ulu Sepri dan Kampung Guntur-Langkap, dijangka siap pada 2026 dan 2027, dengan kos keseluruhan RM165.46 juta. Projek ini tertangguh kerana isu teknikal di tapak.
- Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan bahawa kerja-kerja fizikal akan dimulakan selepas proses pengambilan tanah dan penilaian impak alam sekitar diselesaikan.
- Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan sedang melakukan penyelenggaraan sungai secara berkala tanpa melibatkan kerja melebar atau mendalamkan sungai, dengan 17 batang sungai terlibat dalam program ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kedua-dua laluan yang menelan kos keseluruhan RM165.46 juta itu telah dimulakan pada 2021 dan 2022.
"Terdapat beberapa isu teknikal di tapak yang menyebabkan perjalanan projek ini menjadi lewat. Dijangkakan kerja-kerja fizikal bagi kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan sebaik sahaja proses pengambilan tanah dan penilaian impak alam sekitar diselesaikan," katanya.
Beliau menjawab soalan Muhammad Sufian Maradzi (BN-Seri Menanti) yang ingin tahu status pembinaan jalan berkenaan dan jangkaan disiapkan berikutan hampir empat tahun projek itu tertangguh.
Menjawab pertanyaan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang) mengenai keizinan menggunakan tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk membina jalan alternatif ke kampung Orang Asli Panchor, Klebang dan Lubuk Lawang, Aminuddin berkata ia dijangka selesai tahun hadapan.
"Dalam hal ini, RAC selaku pemilik dan pengurus aset kereta api akan mengkaji cadangan reka bentuk lintasan yang sesuai serta ulasan teknikal daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum diangkat untuk kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat. Ia juga telah dipanjangkan kepada Menteri Pengangkutan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dengan mengalih halangan dan mengalur seksyen sungai secara berkala dengan tidak melibatkan kerja melebar atau mendalamkan sungai.
"Setakat ini, 17 batang sungai terlibat dalam program timbal balik termasuk Sungai Kepayang, Sungai Linggi, Sungai Pertang, Sungai Lenggeng dan Sungai Rembau," katanya menjawab soalan Datuk Bakri Sawir (PH-Klawang) yang ingin tahu sama ada kajian dasar sungai asal telah dijalankan untuk mengatasi banjir dan senarai sungai terlibat.
-- BERNAMA