Pihak berkuasa khususnya kerajaan Kedah diminta supaya menambah kawasan perumahan untuk menempatkan penduduk di kawasan Kota Kuala Muda yang masih tinggal berhampiran pantai dan berisiko dilanda tsunami.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kepala Jalan, Abd Majid Kassim berkata semasa tsunami melanda kawasan itu pada 26 Dis 2004, banyak rumah penduduk yang musnah namun ramai kembali tinggal di kawasan terbabit.

"Sebilangan besar rumah mangsa yang mengalami kerosakan dibaiki dan didiami semula, tetapi sebahagiannya terletak di kawasan berisiko. Sebab itu saya harap pihak berkuasa dapat mengkaji dan menempatkan semula mereka ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abd Majid berkata selepas kejadian tsunami 10 tahun lepas itu, kawasan Kota Kuala Muda kini berubah wajah dan menjadi kawasan tumpuan pelancong dari luar dan ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

LIHAT GALERI FOTO IMBASAN TSUNAMI DI MALAYSIA

"Saya difahamkan selain meneruskan pembinaan tembok sedia ada, laluan pejalan kaki akan turut dibina untuk pelancong yang datang meninjau lokasi terjadinya tsunami ini. Tembok penghadang ombak sedia ada juga akan ditinggikan sedikit.

"Setakat ini, tembok yang siap dibina tidak sampai dua kilometer panjang, justeru saya berharap agar apa yang dirancang itu dapat disegerakan pelaksanaannya," kata beliau.

Dalam pada itu, Abd Majid berkata tsunami yang pertama kali berlaku di kawasan berkenaan adalah peristiwa hitam yang sukar dilupakan, khususnya bagi mereka yang kehilangan insan tersayang serta rumah tempat berteduh.

"Kita tidak mahu kejadian sama berulang, namun sekiranya takdir menentukan ia berlaku lagi, saya benar-benar berharap agar pihak terbabit memastikan tiada mangsa tsunami tercicir daripada mendapat bantuan sewajarnya.

"Saya berasa kesal kerana selepas tsunami 2004, timbul isu mengenai ketelusan pengagihan sumbangan kepada mangsa tsunami, sebab itu berdasarkan pengalaman yang dilalui 10 tahun lepas, jika berlaku bencana, saya harap isu sama tidak lagi timbul," katanya.

Beliau berkata bagi memperingati kejadian tsunami itu, majlis bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan di Masjid Jamek Kampung Masjid, dekat sini malam semalam.