Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berkata pelaksanaan caruman KWSP oleh pekerja asing dijangka menaikkan kos untuk menjalankan perniagaan dan ditambah pula dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 berbanding RM1,500 sebelum ini.
Tambahnya, perkara itu jika tidak diteliti dan diperhalusi akan menyebabkan perniagaan tempatan menghadapi cabaran dan berdepan dengan kurang daya tahan.
"Sekiranya (caruman ini) mandatori, maka saya harap kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan ini sehingga perbincangan dan pertemuan dengan semua pemegang taruh seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta dewan-dewan perniagaan," tambahnya.
Puah berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
"Berkenaan kenaikan gaji minimum, ia mesti diiringi dengan kenaikan produktiviti. Kerajaan kena pastikan adanya latihan untuk meningkat dan menambah produktiviti," tambahnya.
Semasa membentangkan Belanjawan 2025 jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP dan cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa.
Menurut beliau, kerajaan komited dalam memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.
-- BERNAMA